utama

Demi bapa

Oleh Nazri Abu Bakar

Alor Gajah: “Saya akan terus mengutip tin, botol, kotak dan besi buruk bagi meneruskan kelangsungan hidup,” kata Mohd Firdaus Abd Rashid, 28, yang hidup berdua bersama ayahnya, Abd Rashid Dol, 67, selepas kematian ibu akibat barah payu dara, 23 tahun lalu.

Pengorbanan pemuda dari Kampung Lendu di sini, cukup besar dan dia enggan meninggalkan bapanya keseorangan biarpun dia boleh mencari pekerjaan lebih baik jika meninggalkan kampung terbabit.

Baginya, dia sanggup melakukan kerja mengutip bahan buangan semata-mata mahu terus menjaga bapanya.

“Mengumpul barangan terbuang atas usaha sendiri adalah lebih baik daripada mengharap ihsan orang. Saya pernah bekerja di sebuah kilang di Alor Gajah namun hanya bertahan beberapa bulan kerana tidak sesuai dengan jiwa saya.

“Akhirnya saya kembali mengutip barangan terbuang. Saya akan menunggang motosikal untuk mencari barangan itu sebelum dikumpul dan dijual di kedai barang lusuh,” katanya.

Hasil pendapatan berkenaan digunakan untuk perbelanjaan harian selain bantuan daripada kerajaan.

Katanya, dia hanya mahu bapanya gembira dan tidak terganggu dengan perkara yang membimbangkannya.

Bermula dengan berjalan kaki mencari tin, berbasikal dan kini memiliki motosikal, dia sememangnya pemuda yang tabah dan kuat semangat, apatah lagi sikapnya yang tidak menghiraukan pandangan umum terhadapnya.

Mohd Firdaus dikenali sebagai seorang yang rajin bekerja malah dia pernah ditawarkan bekerja di ladang dan memberi pilihan untuknya membawa bapanya bersama namun dia tetap mencari barangan lusuh.

Sementara itu, Abd Rashid berkata, dia tidak menghalang kemahuan anaknya untuk bekerja di mana-mana sekalipun namun keakraban antara mereka menyebabkan anaknya itu enggan berhijrah atau mencuba sesuatu yang baru.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 8:25am
d