utama

Skuad basikal pastikan kita juara

Oleh Jumiati Rosly dan Azlan Muhammad Zain

PINGAT emas ke-111 negara iaitu sasaran kontinjen negara untuk KL2017 disumbangkan skuad basikal oleh juara dunia Azizulhasni Awang melalui acara pecut individu lelaki di di Velodrom Nasional, Nilai, malam ini.

Mencapai sasaran 111 pingat emas sedangkan ada 67 lagi pingat emas dipertanding esok dan Rabu, membolehkan Malaysia secara tidak rasmi menjadi juara keseluruhan Sukan SEA ke-29.

Azizulhasni ‘The Pocketrocketman’ yang juga pembawa Jalur Gemilang ketika majlis pembukaan Sukan SEA, menghadiahkan emas itu selepas menewaskan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sharom dalam kedua-dua pusingan final.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara meraih pingat emas ke-111 malam ini, berkata dengan pencapaian cemerlang itu maka sah dan nyatalah Malaysia menjadi juara keseluruhan temasya sukan dwi tahunan itu.

Juara bertahan, Thailand yang juga pesaing utama negara berada di tempat kedua pungutan pingat dengan 60 emas.

Berbaki dua hari Sukan SEA melabuhkan tirai, tidak mungkin negara lain, terutama Thailand (60 emas) dan Vietnam (54 emas) mampu memenangi semua baki 67 pingat emas untuk memintas Malaysia.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran 111 pingat emas yang menyamai pungutan pingat emas keseluruhan diperoleh kontinjen negara ketika kali terakhir muncul juara keseluruhan pada 2011.

Kontinjen negara menghantar 844 atlet menjadikannya kontinjen terbesar kali ini yang mempertaruhkan 404 pingat emas keseluruhan.

Terdahulu, Fatehah Mustapa menghadiahkan pingat emas ke-110 apabila menundukkan rakan senegara, Farina Shawati Mohd Adnan dalam final acara pecut wanita.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 11:14pm
d