utama

Kembara tiga sahabat

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Semangat cinta pada negara menjadi pembakar semangat kepada tiga sahabat untuk mengembara ke negeri di selatan tanah air sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa rumah anak yatim.

Mereka memulakan perjalanan dengan menunggang basikal dan menaiki pengangkutan awam dari Shah Alam, Sabtu lalu menuju ke Muar, Johor, Melaka dan Tampin, Negeri Sembilan.

Mussori Delail, 61, berkata, sepanjang kembara, dia ditemani Abd Rahman Abd Latif, 53, dan Fauzi Mohd Nor, 50-an.

“Kami menaiki pengangkutan awam ke Muar. Kami bercadang untuk berkayuh ke semua destinasi, namun faktor usia dan keselamatan membataskan perancangan itu.

“Selepas tiba di destinasi berkenaan, kami berkayuh ke rumah anak yatim yang sudah dikenal pasti untuk sampaikan sumbangan yang kami kumpul sambil kibarkan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.

“Kami berkayuh sejauh kira-kira 100 kilometer sepanjang kembara ini,” katanya ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Payasum, Sungai Udang di sini, semalam.

Pesara kerajaan itu berkata, mereka meneruskan perjalanan ke stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Tampin untuk menaiki komuter seterusnya pulang ke rumah masing-masing di Shah Alam.

Sementara itu, Fauzi berkata, pelbagai pengalaman berharga ditempuh sepanjang kembara seperti bertemu dengan golongan muda dan veteran sambil berkongsi kisah kemerdekaan negara.

Dia berharap apa yang mereka lakukan menjadi contoh kepada generasi masa kini dalam melahirkan belia lebih prihatin, bertanggungjawab dan memiliki semangat cintakan negara yang tinggi.

“Sepanjang kembara, kami bermalam di beberapa surau, bukan sekadar menumpang sebaliknya kami turut melakukan kerja amal,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 6:41am
d