utama

Semangat 'Harimau Berantai'

Oleh Nursyahirah Marzuki

Esok kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-60 dan sudah tentu jasa pahlawan negara yang berjuang memerdekakan tanah air pada 31 Ogos 1957 terus terpahat dalam lipatan sejarah.

Bukan mudah buat mereka berdepan musuh negara, namun semuanya dilalui dengan penuh kecekalan demi cinta kepada ibu pertiwi seperti diakui veteran tentera, Sarjan Ahmad Abbas, 84.

Bagi Ahmad, pengalaman membunuh dua komunis yang menyerang satu daripada pos kawalan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) suatu ketika dulu masih tersimpan kemas di kotak fikirannya.

Pihak komunis ketika itu berusaha menakluk Tanah Melayu walaupun berdepan saingan penjajah British dan Jepun.

Ahmad berkata, kali pertama membunuh komunis yang menyerang pos kawalan RAMD itu pasti pengalaman yang tidak dapat dilupakan malah sehingga kini dia masih menceritakannya kepada cucunya.

“Mana tidaknya, kejadian itu berlaku selepas saya tamat latihan wajib sebelum direkrut menjadi askar dan itu adalah pencapaian terbaik bagi mana-mana askar yang baru saja dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan negara. Saya masih ingat lagi, ketika itu saya diarahkan untuk menjaga kawasan sementara rakan lain berehat dan memasak, malah ketika itu ada yang hanya memakai tuala.

“Namun secara tiba-tiba saya nampak kelibat tiga komunis di sekitar kawasan pos kawalan dan saya terus memberi isyarat tangan kepada rakan lain tetapi mereka hanya gelak kerana saya ‘budak baru’. Selepas isyarat saya tidak dihiraukan dan ketika itu komunis semakin hampir dengan pos kawalan, saya mengambil keputusan untuk menembak bertubi-tubi dan selepas itu barulah rakan lain mengangkat senjata masing-masing,” katanya.

Ahmad yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, selepas kejadian itu dia menerima satu ‘calit’ sebagai penghargaan. Semenjak itu semangatnya berkobar-kobar sedia berkorban untuk negara.

“Bagaimanapun, itu hanya secebis daripada kenangan ketika saya berkhidmat untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara, malah beberapa tahun selepas itu saya turut terbabit dalam insiden 13 Mei 1969.

“Setiap kali diarahkan untuk mengikuti operasi, kita akan mempertaruhkan hidup dan mati tetapi saya tidak pernah menyesal membuat keputusan untuk menjadi pahlawan yang menjaga keamanan negara,” katanya.

Ahmad yang berkhidmat selama 22 tahun berkata, dia pernah menjadi individu yang seringkali sinonim dengan misai lentik dan berwajah bengis dengan tongkat di sisi untuk memberi arahan di padang kawad.

“Sebenarnya, pembentukan asas karakter seorang anggota tentera yang berdisiplin, bertindak mengikut arahan dan pandai mengurus masa bermula di padang kawad.

“Jurulatih adalah orang yang bertanggungjawab dalam memastikan anggota tentera terutama mereka yang baru saja direkrut cukup bersedia sebelum mereka mengikuti kursus atau latihan lain.

“Selama tiga tahun menjadi jurulatih, saya berpeluang melatih Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam latihan ketenteraan dan itu antara kenangan yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia juga pernah memegang jawatan sebagai pegawai adat istiadat ketika ditempatkan di Kem Batu Cantonment, Kuala Lumpur selama dua tahun.

“Sebagai pegawai istiadat, saya sebagai individu yang bertanggungjawab dalam memastikan pelbagai acara termasuk lawatan antarabangsa dan sambutan Hari Kebangsaan berjalan lancar serta terkawal,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Ahmad, Osman Ahmad, 60, berkata, ayahnya seorang yang tegas dan berani, malah pernah digelar Harimau Berantai kerana haiwan itu tidak menerkam tetapi hanya melompat melepasi tubuhnya ketika melakukan operasi.

“Bagaimanapun, arwah ibu, Rosiah Idris tidak membenarkan kami adik-beradik atau cucunya berkhidmat sebagai tentera kerana baginya cukup ayah seorang saja yang merasai pengalaman itu,” katanya.

Menurutnya, kesihatan bapanya semakin terjejas apabila dia menghidap penyakit angin ahmar yang menyukarkan pergerakan, malah pertuturannya juga kurang difahami selain kurang pendengaran akibat faktor usia.

“Kami enam beradik akan terus menjaga ayah dan tidak pernah mengharapkan bantuan mana-mana pihak kerana kami sudah dididik sejak kecil untuk tidak meminta-minta, malah perlu berusaha sendiri.

“Alhamdulillah, kami bangga menjadi anak seorang pahlawan negara dan setiap perkara yang berlaku sejak kecil hingga dewasa akan menjadi bukti dan sejarah kepada kami adik-beradik, malah ia akan terus dikongsi dengan keturunan kami,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 10:37am
d