utama

Terjun bolot 13 emas

Oleh Jugjet Singh & Jumiati Rosly

PENERJUN negara berada dalam kelas tersendiri apabila menepati ramalan menyapu bersih semua 13 pingat emas yang ditawarkan selepas hari terakhir pertandingan terjun pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Biarpun meletakkan sasaran 11 emas, penerjun muda negara, Hanis Nazirul Jaya Surya-Jellson Jabillin berjaya menghadiahkan pingat emas ke-13 negara dalam acara 10 meter platform seirama lelaki dengan mengumpul 384.12 mata.

Kedua-dua penerjun yang berumur 16 tahun itu menyerlah sejak terjunan pertama lagi apabila mempamer terjunan yang baik untuk terus mendahului hingga ke terjunan keenam.

Perak dimenangi Indonesia diwakili Adityo Restu Putra-Andriyan (364.14 mata) sementara gangsa dimenangi Singapura diwakili Jonathan Chan-Joshua James Chong (340.50 mata).

Terdahulu, gandingan Leong Mun Yee-Traisy Vivien Tukiet menghadiahkan pingat emas ke-12 negara apabila mengumpul 300.36 mata acara 10m platform seirama wanita.

Mun Yee-Traisy diberi tentangan sengit penerjun Singapura, Lim Shen Yan-Freida Myra Lee apabila memperoleh mata yang sama 49.2 pada terjunan pertama sebelum menjarakkan diri pada terjunan seterusnya.

Penerjun Singapura itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak (255.71 mata) dan gangsa dimenangi Surincha Booranapol-Titiporn Tonapho dari Thailand (233.34 mata).

“Selagi saya menghasilkan keputusan baik, saya tidak akan bersara daripada sukan ini. Tahun ini, ada tiga kejohanan GP dan saya akan bertanding dan lihat bagaimana prestasi saya sebelum memutuskan mengenai Sukan Komanwel,” kata Mun Yee yang mewakili negara pada Sukan Olimpik 2000, 2004, 2008 dan 2012.

Untuk rekod, pada Sukan SEA di Singapura dua tahun lalu, skuad terjun negara turut menyapu bersih lapan emas yang dipertandingkan.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 12:04pm
d