utama

Berebut anak punya pasal...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN lelaki mengejar bekas isterinya dengan kereta dipercayai akibat masalah perebutan anak menyebabkan kejadian lebih buruk apabila kereta dipandu mereka terbabit kemalangan yang turut menyebabkan sebuah lagi kereta dirempuh di Titi Gajah, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, Jafrul Nizam Jaafar, 38, bekas isteri, Marziana Mahadzir, 37, anak mereka, Muhammad Mikhail Jafrul Nizam, 5, dan pemandu kereta lain, Faizal Baharom, 36, cedera parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku dari Titi Gajah menghala ke Kepala Batas.

Beliau berkata, keterangan orang awam memberitahu ia berpunca apabila Perodua Myvi dipandu Jafrul mengejar Perodua Myvi dipandu bekas isterinya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian menghimpit kereta bekas isterinya di sebelah kanan menyebabkan ia terbabas ke pembahagi jalan sebelum melanggar sebatang pokok.

"Kereta lelaki itu turut hilang kawalan dan merempuh sebuah Proton Saga FLX menyebabkan kereta itu terbalik dan merintangi jalan sementara Perodua Myvi itu terbabas di sebelah kiri sebelum merempuh pagar Kuarters Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan," katanya.

Yazri berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 10:38pm
d