utama

Rela jual organ

Oleh Agensi

Pontianak: Seorang ibu mahu menjual buah pinggangnya kerana terlalu terdesak untuk mendapatkan wang bagi membiayai kos rawatan anak perempuan tunggalnya.

Salbiah, 51, berkata, anaknya Syf Nadya yang berusia 12 tahun disahkan mengalami masalah jantung berlubang pada tahun lalu dan perlu segera menjalani pembedahan di Jakarta.

Katanya, kos pembedahan ditanggung oleh kerajaan tetapi dia tiada wang untuk pergi dan menampung perbelanjaannya di Jakarta.

Salbiah memberitahu, dia bekerja sebagai penjual kacang manakala suaminya, Sy Husen, 63, adalah buruh.

“Doktor menyarankan supaya pembedahan Nadya dibuat secepat mungkin kerana keadaan kesihatannya semakin tidak stabil.

“Bagaimanapun, kami terlalu miskin dan tiada wang untuk pergi ke Jakarta. Untuk makan seharian pun susah,” katanya yang dipetik akhbar Tribun Pontianak kelmarin.

Menurutnya, kerana terlalu terdesak dia menawarkan buah pinggangnya untuk dijual bagi menampung kos perjalanannya ke Jakarta.

“Saya sudah tua dan kaki pun cacat. Saya rela menjual buah pinggang saya demi melihat anak saya sihat,” jelasnya.

Menurutnya, sehingga kini tiada siapa yang tampil untuk membeli buah pinggangnya.

Kata Salbiah, dia pernah meminta bantuan beberapa pihak termasuk ke pejabat bantuan masyarakat tetapi tidak dilayan.

“Saya kini terdesak dan pernah terfikir untuk membunuh diri akibat terlalu tertekan tetapi kerana sayangkan Nadya saya tabahkan juga,” jelasnya.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 6:14am
d