utama

Ibu tunggu Abam cakap...

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: “Saya tetap menantikan suara abam (Muhammad Irfan Haziq Adnan) menyebut perkataan ibu walaupun tiada kepastian berapa lama saya harus menunggu saat itu.

“Tidak dinafikan saya dan suami terlalu rindu untuk mendengar suara Haziq bercakap, menjerit dan memecah kesunyian kami setiap kali berada di rumah,” kata Masriyati Kassim, 38.

Menurut Masriyati, anak tunggalnya yang kini berusia lima tahun itu disahkan menghidap autisme ketika berusia empat tahun dan dia bersama suami, Adnan Mat Firu, 38, reda dan menerima ketentuan llahi dengan berlapang dada.

“Saya menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada diri Haziq apabila masih tidak boleh bertutur atau meniru percakapan saya menyebut beberapa patah perkataan menjelang usianya dua tahun berbanding kanak-kanak normal yang lain.

“Bimbang dengan situasi itu, saya membawanya ke klinik pakar swasta dan doktor menyatakan kemungkinan Haziq mempunyai sindrom autisme dan membuat surat rujukan untuk Haziq mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Saya akur dan selepas pelbagai pemeriksaan selain melakukan terapi percakapan dan fisioterapi dalam tempoh dua tahun, doktor akhirnya mengesahkan Haziq penghidap autisme,” katanya, baru-baru ini.

Masriyati dan Adnan antara 1,700 peserta ditemui selepas menyertai acara Berjalan Kaki Amal Merdeka 2017 anjuran Yayasan Pahang (YP) dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) di daerah ini, Sabtu lalu.

Masriyati yang juga kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Taman Gelora berkata, anaknya yang turut dipanggil dengan panggilan manja Abam kini bersekolah di Praintegrasi Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Putih, di di sini, manakala di sebelah petang dihantar ke NASOM Kuantan.

Sementara itu, Adnan berkata mereka tidak pernah menganggap kehadiran Haziq sebagai sesuatu yang membebankan dan malu untuk berdepan dengan masyarakat sebaliknya menerimanya sebagai anugerah yang begitu tinggi nilainya.

“Ketika mula-mula Haziq disahkan penghidap autisme, saya memang terkejut dan kehilangan kata-kata malah kurang bersedia untuk terima hakikat itu, tetapi akhirnya saya sedar kami golongan terpilih untuk menerima ujian daripada-Nya,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 7:52am
d