utama

'Saya tak 'main' pun abang'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BAHAGIAN Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan dua pasang kekasih disyaki disyaki berkhalwat dalam bilik hotel bajet dekat Taman Masai, Pasir Gudang, Johor, hari ini.

Mereka ditahan dalam operasi sempena malam ambang merdeka yang diadakan sekitar kawasan Pasir Gudang, Johor.

Hasil serbuan di dua hotel bajet di Taman Masai, Pasir Gudang, anggota penguat kuasa menahan pasangan itu yang mendakwa baru mendaftar masuk selepas menghadiri sambutan Majlis Ambang Merdeka di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang.

Pasangan pertama ditahan dalam bilik hotel di Jalan Bunga Raya, Taman Masai, pada 1.42 pagi.

Sejurus pintu bilik dibuka, remaja lelaki berusia 18 tahun itu ditemui tidak berbaju, berseluar dalam manakala remaja perempuan tingkatan lima berada dalam tandas dan sedang menyembunyikan diri.

"Saya tak ‘main’ pun abang," kata lelaki yang juga pekerja kantin kepada anggota penguat kuasa selepas dilihat terkejut dengan kehadiran mereka.

Sementara itu, penantian 10 minit anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik di hotel bajet menemui sepasang kekasih disyaki berkhalwat di dalamnya.

Anggota penguat kuasa pada mulanya sudah hendak beredar kerana menyangka bilik tiada penghuni kerana tidak membuka pendingin hawa.

Bagaimanapun, tiba-tiba pintu bilik dibuka seorang wanita.

Apabila pintu dibuka, lelaki berusia 20 tahun dilihat berpakaian lengkap dalam bilik air manakala wanita berusia 21 tahun berada di atas katil juga berpakaian dan bertudung.

Mendakwa mereka juga baru pulang dari sambutan ambang merdeka.

Anggota penguat kuasa kemudian mengecam pasangan itu antara yang ditegur mereka berdua-duaan ketika pemeriksaan di sekitar tasik dekat Bukit Layang-layang sejurus sambutan itu berakhir.

"Awak tak perasan saya tegur awak di tasik tadi? Sambung (berdua-duaan) di bilik hotel pula?," tanya seorang anggota penguat kuasa kepada pasangan itu.

Pasangan bujang itu yang mendakwa baru berkenalan menerusi WeChat, berkata mereka mendaftar masuk dengan harga RM30 bagi tiga jam sahaja.

Dua pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27(1) a & b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka dibawa ke Balai Polis Masai untuk membuat laporan polis sebelum dibawa pulang ke pejabat Bahagian Penguat Kuasa JAINJ untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, 11 anggota penguat kuasa JAINJ itu menjalankan pemantauan di sekitar tasik berhampiran Bukit Layang-layang sejurus tamat sambutan ambang merdeka kira-kira 12 tengah malam dan mengeluarkan tujuh notis arahan hadir ke atas tujuh pasangan.

Mereka diberikan notis itu mengikut Seksyen 29 enakmen yang sama selepas didapati berkelakuan tidak bermoral di khalayak umum.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan yang dibuat.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 11:14am
d