utama

'Wedding planner' direman

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PEMILIK syarikat perancang perkahwinan direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung penipuan pakej perkahwinan dipercayai membabitkan lebih 100 mangsa.

Perintah reman ke atas wanita berusia 35 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret S Nisha, di Mahkamah Majistret Klang, 10.45 pagi ini.

Peguam Mohamad Akmel Ari Shamsul Kahar yang mewakili suspek berkata, anak guamnya itu ditahan polis sejak semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Dia (suspek) direman dua hari. Namun saya tidak boleh mengulas lanjut supaya tidak mengganggu siasatan.

"Namun, kami akan memfailkan saman sivil terhadap beberapa individu mempunyai kaitan dengan syarikat anak guam saya," katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan mengenai penahanan wanita berkenaan.

"Ia dibuat hasil laporan pengadu mendakwa ditipu selepas mendapati pejabat syarikat itu ditutup, pada Selasa lalu, dan gagal menghubungi pemiliknya.

"Pengadu mendakwa sudah membayar RM7,000 untuk majlis perkahwinan yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti mangsa yang lain dan laporan berkaitan kes itu dikumpul oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor.

Selasa, 30 Ogos, Harian Metro melaporkan lebih 100 pengantin dan bakal pengantin mendakwa terpedaya dengan tawaran syarikat di Seksyen 7, Shah Alam, dengan anggaran kerugian keseluruhan mangsa mencecah RM500,000.

Difahamkan, selain Selangor, syarikat itu mempunyai butik lain di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Johor.

Kejadian berpuluh mangsa penipuan 'menyerbu' syarikat itu tular di media sosial berikutan kegagalan syarikat perancang perkahwinan itu menyediakan sajian makanan, pelamin dan gambar perkahwinan, Isnin lalu.

Kebanyakan bakal pengantin yang menjadi mangsa mendesak syarikat perancang perkahwinan itu memulangkan semula duit yang dibayar antara RM2,000 dan RM10,000.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 1:06pm
d