utama

Isteri maut, kepala air 'sambar' 4WD

Oleh Nasrawati Syarifuddin

WANITA maut manakala suami dan anaknya terselamat apabila kepala air menghentam dan menghanyutkan kenderaan mereka naiki dalam kejadian di Kalabakan, Tawau.

Jamurin Pagandai, 51, maut dan ditemui orang awam kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Suami, Lauji Nambi, 47, bersama anak mereka, Denny, 21, sempat menyelamatkan diri dalam kejadian pada 1.40 pagi, Khamis.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang dari Tawau ke Ranau.

Sebaik tiba di lokasi, kepala air dari bukit sebelah kiri mereka tiba-tiba turun dan menyebabkan kenderaan mereka dibawa arus sehingga ke Sungai Felda Tengah 1.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Ford Ranger yang dinaiki tiga mangsa itu dipercayai dihanyutkan arus deras.

"Suami dan anak mangsa dibawa ke Klinik Kalabakan untuk rawatan lanjut. Jamurin dipercayai lemas selepas hanyut bersama kenderaan itu,” katanya.

Sementara itu, pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Faisal Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.49 pagi, Khamis.

"Sebelas anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa sebelum ditemui pada 11.50 pagi.

“Mangsa meninggal dunia dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 12:10am
d