utama

Bangga alunkan Sehati Sejiwa

Oleh Ardini Sophia Sina

Tidak semua penyanyi berpeluang menyanyikan lagu tema Hari Kebangsaan dan mereka yang diberi kesempatan itu pasti berasa bangga dapat memberikan sumbangan kepada negara.

Mungkin ada melihat perkara itu sekecil hama dan tidak membawa apa-apa makna tetapi bagi dua penyanyi muda ini, Syamel dan Ernie Zakrie, pemilihan untuk menyanyikan lagu Sehati Sejiwa sangat besar.

Syamel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 24, yang dikenali melalui lagu Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna, akui sangat bangga apabila diberi tanggungjawab besar untuk mendendangkan lagu Sehati Sejiwa yang dijadikan lagu tema sempena kemerdekaan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, sebagai penyanyi yang baru dua tahun dalam industri, Syamel yang juga pemenang kedua program Akademi Fantasia 2015, ia sesuatu yang bererti dan menjadi pengalaman sangat berharga buat dirinya.

“Sebelum ini lagu itu dinyanyikan oleh Aliff Satar. Kali ini saya dan Ernie diberi tanggungjawab itu dan kami menyanyikan lagu itu menurut cara tersendiri.

“Walaupun sekadar menyanyikan lagu tema merdeka, saya sangat bangga kerana menjadi wakil suara belia di Malaysia untuk menyatakan rasa cinta pada negara.

“Peranan kami sebenarnya tidak hanya setakat menyanyikan lagu itu, bahkan menerusi lagu inilah saya dan Ernie meniup semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan anak muda.

“Ia tidak hanya disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), juga semua stesen televisyen sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya.

Syamel akui perasaannya ketika menyanyikan lagu itu sangat berlainan apabila mendendangkan lagu genre balada.

Katanya, peluang itu diterima lebih kurang tiga bulan lalu dan menerimanya dengan hati terbuka. Ketika itu dia tidak memikirkan apa-apa.

“Untuk menjiwai lagu itu, saya cuba buat mengikut cara sendiri dan tidak melakukan apa-apa rujukan. Cuma apa yang penting bagi saya, perlu memupuk semangat patriotik supaya tidak hanya kedengaran pada vokal juga pada raut wajah.

“Ada beberapa perkara yang harus dititikberatkan agar sesiapa yang mendengar lagu itu akan turut sama bersemangat untuk terus mempertahankan kemerdekaan dan keamanan negara.

“Setiap patah perkataan itu sangat bermakna. Tambah pula ada bahasa Iban dan Kadazan yang turut diselitkan. Cara nyanyian lagu genre balada dan lagu Sehati Sejiwa memang berbeza.

“Ketika menjalani penggambaran video lagu itu, wajah juga harus menunjukkan bahawa kami bangga menjadi anak Malaysia. Walaupun ada bahagian dalam lagu yang mempunyai rentak perlahan, semangat itu harus tetap sama,” katanya.

Kekal rentak asal

Gandingan Syamel dan Ernie tidak harus dipertikaikan lagi. Kerjasama yang terjalin sebelum ini menerusi pertandingan Duo Star seterusnya duet lagu Aku Cinta, memberi kelebihan buat mereka.

Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 25, tidak ambil mudah mengalunkan lagu tema Sehati Sejiwa walaupun sudah beberapa kali menyanyikan lagu berunsurkan kemerdekaan,

Juara Bintang RTM 2009 ini tetap bangga dipilih menyanyikan Sehati Sejiwa yang menjadi tema Hari Kebangsaan tahun ini.

Kata Ernie, mereka diminta untuk melakukan sedikit suntikan segar pada lagu itu tetapi tidak banyak yang diubah.

“Saya dan Syamel masih ingin mengekalkan rentak asal lagu itu cuma gaya nyanyian dan paduan suara saja membezakan lagu itu dengan nyanyian Aliff Satar.

“Lagu itu sendiri sudah sempurna dan tidak memerlukan ‘rendition’ yang keterlaluan. Ada perubahan tetapi tidak terlalu ketara. Kelainan yang kami buat itu juga dengan persetujuan komposer.

“Suntikan segar yang dibuat itu bertujuan menarik pendengar untuk menyanyikan lagu itu bersama-sama. Saya percaya, muzik adalah perkara utama yang akan menjadi tarikan kemudian lirik,” katanya.

Turut dihasilkan, klip video lagu itu. Ernie akui berhadapan cabaran untuk penggambarannya kerana dijalankan Ramadan lalu iaitu beberapa hari sebelum Aidilfitri dan bersambung semula selepas hari raya.

“Bayangkan kami berehat sekejap untuk menyambut hari raya kemudian penggambaran disambung semula. Saya terpaksa menonton rakaman yang dibuat lebih awal untuk mendapatkan semula ‘mood’ dan ‘feel’ sama.

“Semangat, emosi dan ‘energi’ yang kami mulakan itu harus dikekalkan sehingga ke akhir klip lagu. Seboleh-bolehnya kami berusaha melakukan yang terbaik.

“Syukur gandingan saya dan Syamel baik dan tidak ada masalah. Klip lagu juga semuanya berjalan lancar dan setiap babak dipaparkan dalam rakaman itu mempunyai tahap ‘energi’ yang seimbang,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 1:33am
d