utama

Hummels hero Jerman

Oleh AFP

Prague: Tandukan Mats Hummels membolehkan Jerman menang 2-1 ke atas Republik Czech di Prague sekali gus membawa skuad juara bertahan itu semakin hampir untuk ke pusingan akhir Piala Dunia 2018.

Jerman mendahului di Eden Arena menerusi Timo Werner tetapi Czechs menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah Hertha Berlin, Vladimir Darida ketika permainan berbaki 12 minit.

Bagaimanapun, Hummels menyelamatkan kempen juara bertahan itu menerusi tandukan padu pada minit ke-88.

Kemenangan itu membolehkan Jerman mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut dan mengumpul kelebihan lima mata berbanding seteru terdekat, Ireland Utara di dalam Kumpulan C.

Jerman akan melayan kunjungan Norway di tempat sendiri, minggu depan.

Jika anak buah Joachim Loew menang perlawanan itu sambil Ireland Utara gagal menundukkan Republik Czech, Jerman akan layak ke Russia.

Jerman masih belum pernah tewas sepanjang 30 perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Kekalahan terakhir mereka ialah 16 tahun lalu apabila tumbang 1-5 di tangan England di Munich menerusi hatrik Michael Owen.

Loew bermula dengan enam pemain yang beraksi di Piala Konfederasi, Julai lalu dan empat pemain Piala Dunia, Toni Kroos, Hummels, Mesut Ozil serta Thomas Mueller.

Memasuki minit keempat, Jerman sudah mendahului tuan rumah apabila pertahanan Czech gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Hummels memintas hantaran pemain lawan dan menolak bola kepada Ozil sebelum bintang Arsenal itu membuat hantaran pendek yang mudah disudahkan Werner.

Cubaan Lars Stindl hampir menambah kelebihan tetapi sesekali, tuan rumah turut mengancam kubu Jerman.

Rembatan Michael Krmencik sedikit melewati palang gol Jerman yang dikawal Marc-Andre ter Stegen.

Pertahanan, Theodor Gebre Selassie yang beraksi di Bundesliga bersama Werder Bremen turut hampir berjaya menyamakan kedudukan.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 3:02am
d