utama

Mahu pemain tiru aksi Chong Wei

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih perseorangan wanita negara Tey Seu Bock mahu pemainnya mencontohi Datuk Lee Chong Wei dalam pelbagai aspek terutama kekuatan mental jaguh perseorangan lelaki itu.

Jelas bekas jurulatih perseorangan lelaki itu, meskipun sudah berusia 35 tahun, Chong Wei masih mampu mengekalkan prestasinya untuk beraksi di tahap tertinggi.

“Tahap keyakinan pemain kita, itulah yang mahu saya tekankan selepas ini kepada barisan pemain perseorangan wanita negara.

“Kenapa Chong Wei boleh buat tapi yang lain tak boleh buat. Sebenarnya tidak ada perkara yang kita tidak boleh buat.

“Pemain perlu berfikiran positif. Tak perlu membandingkan pemain kita dengan negara lain kerana kita sendiri mempunyai contoh terbaik iaitu Chong Wei,” katanya.

Meskipun berpuas hati dengan pencapaian perseorangan wanita negara terutama menerusi Goh Jin Wei yang memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Seu Bock berpendapat tahap kekuatan mental barisan pemain wanita negara masih terlalu jauh berbanding pemain bertaraf dunia.

Sementara itu, selain Jin Wei, Seu Bock juga berpuas hati dengan Soniia Cheah yang tewas kepada Jin Wei pada aksi final.

“Prestasinya lebih baik berbanding sebelum ini tapi berdasarkan pemerhatian saya dia belum mencapai tahap yang dimahukan.

“Sebab pada aksi final dia tewas kepada Jin Wei kerana kelemahan mental,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 8:50am
d