utama

'The world is waiting, Suu Kyi'

Oleh Nurul Huda Kosnon

PEMENANG Hadiah Keamanan Nobel, Malala Yousafzai menggesa pemimpin de fakto Myanmar, Aung San Suu Kyi mengutuk layanan tragis terhadap orang Rohingya.

Menurut laporan The Guardian, Malala menerusi laman Twitternya memberitahu Suu Kyi, yang juga pemenang Hadiah Keamanan itu, bahawa dunia sedang menunggu untuknya bertindak atas pergolakan yang menyebabkan ratusan orang mati selain puluhan ribu mangsa lain melarikan diri ke negara jiran, Bangsladesh.

Yousafzai berkata, dia kecewa menerima laporan kanak-kanak dibunuh oleh pasukan keselamatan dan mendesak kerajaan Burma untuk memberi taraf kewarganegaraan kepada mereka.

Dia menulis: "Sejak beberapa tahun lalu, saya banyak kali mengutuk layanan buruk terhadap etnik Roghinya.

"Saya masih menunggu pemenang Nobel Aung San Suu Kyi untuk melakukan perkara yang sama. Satu dunia menunggu dan Muslim Rohingya sedang menunggu."

"Hentikan keganasan. Hari ini kita melihat gambar kanak-kanak kecil yang dibunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar. Kanak-kanak ini tidak menyerang sesiapa pun tetapi rumah mereka terus dibakar.

"Jika rumah mereka bukan di Myanmar di mana mereka tinggal selama beberapa generasi, di manakah pula? Rakyat Rohingya harus diberi kewarganegaraan di Myanmar iaitu negara di mana mereka dilahirkan."

Yousafzai yang nyaris mati dalam cubaan bunuh oleh Taliban Pakistan pada 2012 kerana kelantangannya berkempen terhadap hak pendidikan untuk perempuan, menyeru lebih banyak negara menawarkan makanan, perlindungan dan persekolahan kepada Rohingya.

Dianugerahkan hadiah Nobel Keamanan pada 2014, penerima termuda itu baru ditawarkan tempat ke University of Oxford untuk belajar falsafah, politik dan ekonomi.

Hampir 400 orang meninggal dunia dalam pergolakan baru-baru ini.

Pegawai keselamatan Myanmar dan pemberontak Rohingya menuduh satu sama lain membakar kampung dan melakukan kekejaman di negara Rakhine di barat laut negara itu.

Campur tangan Yousafzai berlaku selepas Menteri Luar Britain, Boris Johnson memberi amaran kepada Suu Kyi bahawa layanan terhadap kumpulan etnik minoriti itu merosakkan imej dan reputasi negara.

Sabtu lalu, Johnson menghantar mesej kepada Suu Kyi yang menang hadiah Nobel untuk aktiviti pro-demokrasi beliau supaya menggunakan sifat luar biasanya menghentikan keganasan dan pergolakan yang berlaku.

Beliau berkata: "Aung San Suu Kyi benar-benar dianggap sebagai satu daripada tokoh paling menginspirasikan namun layanan terhadap Rohingya mencemarkan reputasi Burma.

"Beliau menghadapi cabaran besar dalam memajukan negaranya. Saya harap beliau kini boleh menggunakan semua kualiti yang luar biasa untuk menyatukan negaranya, menghentikan keganasan dan menamatkan prasangka yang menimpa kedua-dua umat Islam dan masyarakat lain di Rakhine.

"Adalah penting bahawa beliau menerima sokongan tentera Burma. Beliau dan semua orang di Burma akan mendapat sokongan penuh dalam perkara ini. "

Menurut agensi pelarian PBB, kira-kira 73,000 orang melintasi sempadan Bangladesh sejak keganasan pergolakan meletus pada 25 Ogos mengakhibatkan kem pelarian hampir penuh.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 4:04pm
d