utama

19 disyaki pengganas dicekup

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

SERAMAI 19 lelaki terdiri daripada lapan warga tempatan dan 11 warga asing disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas, ditahan dalam enam operasi khas berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan dan Johor Bahru bermula 4 Julaihingga 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan terbaru membabitkan lapan individu disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG) dalam satu operasi khas bersama Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman di Cheras, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Menurutnya, dua individu yang ditahan adalah warga Filipina dan enam lelaki tempatan berusia 20 hingga 25 tahun.

"Suspek utama yang berusia 25 tahun adalah anggota ASG yang menyusup masuk ke Sandakan, Sabah sebelum ke Kuala Lumpur pada Disember 2015.

"Suspek ini pernah terbabit dalam pertempuran dengan tentera Filipina, menculik enam tebusan warga Filipina dan menyembelih seorang tebusan pada 2010. Lelaki ini juga pernah mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang menyertai ASG sejak 2014 iaitu Dr Mahmud Ahmad, Mohd Najib Hussein dan Muhammad Juraimee Awang Ramlee di Kampung Tipo-Tipo, Basilan, Selatan Filipina pada September 2015," katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Mohamad Fuzi berkata, risikan turut mendedahkan bahawa suspek yang ditangkap ini merancang untuk melancarkan serangan ketika upacara penutupan Sukan SEA Ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Perbarisan Hari Kebangsaan Ke-60 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Katanya, pada 25 Ogos lalu, dua warga Indonesia berusia 29 dan 47 tahun yang bekerja sebagai peniaga di Damansara ditangkap kerana disyaki aktif merekrut anggota baru kumpulan pengganas Daesh dan merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan itu.

"Polis juga turut menahan seorang warga Palestin kerana merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di selatan Filipina dan warga Iraq yang ditahan terbabit dengan kumpulan pengganas Albania yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh pada 15 dan 16 Ogos lalu.

"Selain itu, pesara guru, 63, ditangkap di Bachok, Kelantan kerana aktif mempromosikan Daesh melalui dua akaun Facebook (FB) miliknya pada 11 Ogos lalu. Tangkapan di Gombak, Selangor pula membabitkan dua beradik warga Iraq berusia 41 dan 63 tahun yang disyaki bertindak sebagai komander Daesh di selatan Iraq," katanya.

Beliau berkata, semua 19 suspek yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, kanun keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747).

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 7:29pm
d