utama

Makin matang

Oleh Najiy Jefri

Tidak keterlaluan untuk memuji pelakon berbakat, Saharul RIdzwan. Bakatnya mula membuka mata banyak pihak selepas drama lakonan bersama Mia Ahmad berjudul Hati Perempuan berjaya menawan hati peminat.

Sepanjang enam tahun bergelar anak seni, dia antara aktor yang meraih populariti dalam tempoh yang singkat. Malah, pencapaiannya sebagai Aktor Pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 menajdikan kembara seninya semakin indah.

Bagaimanapun entah di mana silapnya, selepas mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu, momentum pelakon yang turut terkenal menerusi drama Kau Aku Kita dan Seindah Takdir Cinta itu menjunam. Auranya semakin suram malah wajahnya semakin jarang muncul di kaca televisyen.

Pun begitu, Saharul tidak pernah ambil pusing perkara itu. Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim tidak pernah menganggap perkahwinan akan menyebabkan ‘saham’ seseorang jatuh.

Kata Saharul, semuanya berbalik kepada rezeki dan putaran dunia seni.

“Tiada istilah saham jatuh selepas bergelar suami dan bapa. Saya anggap ini perkara biasa bagi pelakon apabila adanya pendatang baru.

“Saya pernah mengecap populariti dan berada di puncak, namun kedudukan itu tidak akan bertahan lama sekiranya tidak pandai menyusun perjalanan seni dengan baik.

“ Disebabkan itu, saya selalu merujuk kepada pelakon senior cara mahu kekal konsisten dalam industri.

“Bagi saya, jika sekadar popular tetapi tiada duit untuk meneruskan kelangsungan hidup, seseorang pelakon itu belum dianggap berjaya. Fokus saya sekarang mahu mencari rezeki dan memilih naskhah mencabar.

“Meskipun ramai menganggap saya tiada tawaran berlakon, sebenarnya jadual seni saya sentiasa padat. Cuma tidaklah selebat dulu. Ini kerana saya perlu membahagikan masa untuk famili,” katanya.

Mengakui melakukan kesilapan besar ketika merencana perjalanan seninya menyebabkan namanya semakin ‘suram’, Saharul bagaimanapun tetap optimis dan tampil dengan strategi baru bagi mempertahankan kedudukannya.

“Untuk kekal relevan setiap pelakon seharusnya memilih skrip dan drama. Satu kesilapan saya adalah selepas berada di puncak, saya main ambil saja setiap tawaran yang datang kerana permintaan yang tinggi selain tawaran demi tawaran diterima menjadi duta.

“Bagaimanapun, kini saya sedar jika kita tidak mengehadkan tawaran yang datang dan tidak menjaga kualiti, momentum akan merudum jatuh. Jadi sekarang saya lebih banyak memilih cerita yang bagus dan menguji kemampuan saya sebagai pelakon. Lagipun sampai bila saya mahu kekal berada di kedudukan yang sama. Saya mahu cabar diri untuk ke fasa seterusnya,” katanya.

Semakin bahagia

Menyentuh sisi peribadinya, Saharul mengaku semakin bahagia dan matang selepas memperisterikan Qaabila Deena Emir. Mahligai yang dibina semakin lengkap dengan kehadiran cahaya mata diberi nama Muhammad Luth Ali.

Saharul mengakui dia kini banyak menghabiskan masa dengan keluarga selain perlu bekerja keras untuk membahagiakan mereka.

“Sebagai ketua keluarga saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isteri dan anak. Komitmen saya juga bertambah jika dibandingkan ketika bujang dulu,” katanya.

Saharul juga mengehadkan masa lakonan demi melihat anaknya membesar depan mata.

“Anak anugerah terindah dalam hidup saya. Sibuk macam mana sekali pun, saya akan pastikan dapat melihat anak setiap hari kerana ia sebahagian tanggungjawab,” katanya yang mengakui rezeki semakin murah selepas berkeluarga.

Ceburi bidang muzik

Terbaru, Saharul menceburi dunia muzik dengan merakamkan single berjudul Buku Putih bersama Ajai.

Apa yang menarik, Saharul menyanyikan bahagian rap persis pelawak Zizan Razak yang sebelum ini tampil sebagai rapper.

Akui Saharul, dia bukanlah penyanyi profesional dan tidak pandai menyanyi ikut melodi.

“Saya tahu tonasi suara tidak sampai hingga boleh menyanyi lagu secara penuh, sekadar rap bolehlah,” katanya.

Biarpun sudah menceburi dunia muzik, tidak bererti Saharul tidak berminat lagi dengan kerjaya lakonan.

“Lakonan sudah menjadi suatu bentuk keghairahan dan semangat buat saya. Namun saya juga suka menulis apabila ada kelapangan. Ketika berada di set penggambaran, saya akan menulis perkara yang dapat mengekspresikan diri.

“Buku Putih menceritakan persahabatan dan ia berdasarkan pengalaman saya sendiri. Apa yang ditulis daripada hati. Sebelum ini umum mengenali saya sebagai pelakon tetapi melalui lagu ini apa yang ditulis oleh saya dan abang Ajai adalah Saharul Ridzwan yang sebenar,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 3:28am
d