utama

Cawan dalam dubur

Oleh Agensi

Guangzhou, China: Doktor di sebuah hospital di sini terkejut selepas seorang lelaki datang meminta bantuan untuk mengeluarkan cawan kaca yang tersangkut di duburnya.

Lelaki berusia 30-an itu datang ke hospital dalam keadaan kesakitan pada minggu lalu dan memberitahu ada cawan tersangkut di duburnya selama dua hari.

Doktor yang terkejut dengan dakwaan lelaki itu segera membuat imbasan X-ray dan menemui cawan itu berada di atas bahagian rektum.

Satu pembedahan segera diaturkan kerana doktor bimbang lelaki itu boleh maut sekiranya cawan itu tidak segera dikeluarkan.

Media tempatan melaporkan, doktor pada mulanya cuba mengeluarkan cawan itu sama seperti ia masuk ke dubur lelaki berkenaan.

Menggunakan sejenis dadah bagi merehatkan otot di dubur pesakit, doktor berjaya mencapai cawan itu tetapi ia terlalu licin untuk ditarik keluar.

Doktor juga bimbang cawan itu mungkin pecah sekiranya ditarik secara paksa sekali gus menyebabkan kecederaan dalaman yang serius.

Selepas berbincang, doktor memutuskan untuk mengeluarkan cawan berkenaan dengan membedah perut lelaki itu.

Doktor akhirnya berjaya mengeluarkan cawan itu dengan selamat selepas pembedahan yang berlangsung selama lebih sejam.

Lelaki itu yang sudah berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak dibenarkan keluar dari hospital selepas beberapa hari dirawat.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan enggan memberitahu doktor atau ahli keluarganya bagaimana cawan itu boleh masuk ke duburnya.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 4:25am
d