utama

Doa, tawakal dan nekad!

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: “Saya hanya mengagak ke satu arah ketika penyerang lawan melakukan sepakan penalti. Alhamdulillah jangkaan saya tepat,” kata penjaga gol negara Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti pada masa kederaan berdepan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Menurutnya, ketika bersedia berdepan satu sama satu dia hanya berdoa, tawakal dan nekad mempertahankan jaring pasukan daripada dibocori ketika pasukan terikat 1-1.

Hafizul berkata, tindakannya menepis bola kencang Sandro kerana berusaha memastikan pasukan tidak tewas di depan penyokong sendiri dan tidak mahu menghampkan peminat setia yang hadir ke stadium.

Lebih bernasib baik buat Malaysia sepakan penalti yang ditepisnya kembali singgah ke kaki lawan, namun sepakan susulannya tersasar ke kiri gawang Harimau Malaya.

Penjaga gol Perak itu meraih penampilan kedua pada perlawanan itu bersyukur diberi peluang oleh jurulatih berada dalam kesebelasan utama.

Malah Hafizul berjaya menafikan sekurang -kurangnya empat percubaan bahaya lawan termasuk berdepan satu sama satu sesudah pertahanan negara tertewas.

Dia tampil kali pertama menentang Myanmar pada aksi persahabatan sebelum ini.

“Apa yang pasti persembahan pasukan negara semakin baik dan perubahan sudah terlihat dalam aksi malam ini dan sebelumnya namun ia perlu terus dipertingkatkan bagi meraih keputusan lebih baik.

“Saya menganggap semuanya rezeki namun perlu berusaha dan reda apa yang berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 3:38pm
d