utama

Ismail 'suka' perempuan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai dua kakak membuatkan penyanyi Ismail Izzani sedikit sebanyak ‘terpengaruh’ dengan gaya hidup mereka.

Ismail, 17, berkata, ketika kecil dia lebih suka menonton kartun Barbie kerana mengikut dua kakaknya berbanding kartun untuk kanak-kanak lelaki.

Malah, penyanyi lagu Sabar ini mengakui kebanyakan rakannya perempuan dan selesa berkongsi cerita dengan mereka.

“Jangan salah sangka, walaupun suka menonton Barbie ketika kecil, ia bukan bermakna saya ‘sesuatu’. Saya membesar seperti kanak-kanak lelaki lain. Mungkin ketika itu masa saya lebih banyak bersama kakak, jadi saya terikut-ikut apa yang dilakukan mereka.

“Apabila meningkat dewasa, diakui saya banyak kawan perempuan. Bukan apa, setiap kali ada masalah terutama membabitkan hubungan dengan kekasih, mereka tempat saya meluahkan perasaan. Mereka lebih memahami berbanding rakan lelaki.

“Seperkara lagi, apabila dengan rakan perempuan mereka boleh memberi nasihat dan pandangan. Sebaliknya, rakan lelaki suka memperlekehkan. Paling tidak pun mereka memberikan idea yang tidak masuk akal,” katanya.

Bercakap mengenai hubungan cintanya, Ismail yang juga anak kepada penyanyi era 80-an, Datin Suliza Salam berkata, dia baru saja putus cinta.

Namun Ismail enggan berkongsi lebih lanjut siapa bekas kekasih yang pernah bertakhta di hatinya selama hampir setahun itu.

“Cukup untuk saya katakan, kami baru saja putus. Ia bukan berpunca daripada sesiapa, sebaliknya faktor masa dan keadaan,” katanya.

Ditanya adakah punca putus cinta itu disebabkan populariti yang diraih, Ismail menafikannya.

“Kami putus bukan sebab saya jadi penyanyi atau sudah popular. Malah jauh sekali disebabkan saya tidak meluangkan masa dengannya. Ingin dijelaskan saya tidak pernah lupa diri.

“Pada masa sama, mak saya pun beritahu mungkin belum rezeki. Mak juga tidak pernah menghalang saya bercinta,” katanya.

Ismail turut berkongsi cerita, ada segelintir peminat yang menawarkan diri untuk menjadi kekasihnya.

Bagaimanapun, Ismail mengambil pendekatan untuk tidak ambil pusing kerana enggan memberi sebarang harapan.

“Saya tidak boleh menghalang perkara ini. Lagi pun saya menghormati mereka sebagai peminat. Kalau nak tahu banyak mesej di laman Instagram dan mereka meluahkan isi hati.

“Setakat ini saya tidak pernah membalas mesej mereka. Bukan apa, saya tidak mahu mereka menaruh hati. Andai berjumpa di sebarang acara, saya melayan peminat sama seperti orang lain,” katanya.

Menyentuh perkembangan lain, Ismail kini muncul dengan single terbaru berjudul Demi Kita.

Demi Kita dicipta Adib Hamdi, Omar K dan Ezra Kong manakala liriknya ditulis Ismail dengan kerjasama Adib dan Omar.

“Lagu ini berbeza dengan Sabar. Mungkin kerana ia terlalu peribadi buat saya, jadi saya tidak tertekan sekiranya sambutannya tidak sehebat Sabar,” katanya.

Jika Sabar berentak pop, Demi Kita pula balada. Tidak cukup dengan itu, Ismail juga ingin terus meneroka pelbagai sudut seni muzik.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 4:07am
d