utama

'Benteng kami makin ampuh'

Oleh Agensi

London: Phil Jones (gambar) berkata, segala ujian yang dilakukannya dengan cuba menyekat pergerakan penyerang berbakat Manchester United berjaya membantu meningkatkan permainannya.

Rangkaian penyerang United sudah membuktikan keupayaan mereka musim ini dengan Romelu Lukaku, Marcus Rashford serta Anthony Martial masing-masing bersilih ganti mengkucar-kacirkan setiap pertahanan lawan yang mereka temui.

Setakat ini, trio itu sudah menghasilkan enam gol Liga Perdana manakala Paul Pogba menambah dua lagi sekali gus membolehkan pemain pertahanan seperti Jones ‘menghadapi’ mereka setiap kali sesi latihan.

Jones, 25, tegas mengatakan bahawa dia sangat menikmati setiap saat di mana dia akan cuba berusaha mengekang pergerakan ketiga-tiga penyerang berkenaan dan itulah sebabnya mengapa dia mampu bermain lebih baik berbanding mula-mula menyertai United dulu.

“Sebagai pertahanan, sudah tentu anda mahu cuba mengekang pergerakan penyerang antara yang terbaik di dunia,” kata Jones. “Anda mahu menguji sejauh mana kemampuan anda dan membuktikan kepada semua bahawa anda cukup layak melakukannya.

“Bermain menentang semua penyerang itu setiap kali latihan membuatkan saya bertambah baik. Ia memberikan saya pengetahuan mengenai cara terbaik untuk menghadapi mana-mana penyerang sekalipun.”

Jones turut memuji persembahan Rashford ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Slovakia semalam dan menyifatkan masa depan penyerang muda itu sangat cerah.

“Dia mempunyai sikap yang bagus tidak kira di dalam atau di luar padang. Dia mempunyai bakat yang cukup bagus,” kata Jones. “Ketika ini dia sudah boleh dianggap istimewa tetapi satu hari nanti, dia akan menjadi lebih bagus.

“Dia pantas, memiliki teknikal yang bagus, mampu menggunakan kedua-dua belah kakinya dan dia pasti menjadi igauan buruk buat mana-mana pertahanan. Anda sudah lihat sendiri kemampuannya musim ini. Dia pemain yang istimewa dan kami amat bertuah kerana memilikinya.”

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan United setakat ini ialah gandingan Jones dengan Eric Bailly di benteng pertahanan cukup menjadi sekali gus membolehkan skuad kendalian Jose Mourinho itu mencatat kemenangan bersih sepanjang tiga perlawanan.

Bercakap mengenai gandingannya itu, Jones berkata: “Dia cepat menyesuaikan diri. Dia mempunyai sikap yang baik dan sangat berbakat. Dia juga pantas dan kuat.”

Jones menyertai United dari Blackburn Rovers pada 2011 dalam usia 19 tahun dan kini dia sudah menjadi antara pemain pertahanan paling berbakat di Liga Perdana.

“Sepanjang berada di sini, saya berlatih dengan bantuan pemain hebat seperti Rio (Ferdinand) dan Nemanja (Vidic),” katanya. “Giggsy (Ryan Giggs) turut memberikan bantuan sepanjang beliau mewakili United,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 4:22am
d