utama

Semoga Aseem tenang di sana... [UPDATE]

Oleh Zulfa Mohamad

MUHAMMAD Aseem Mohammad Khalil, 4, sempat bertanya mengenai syurga kepada ibunya, Ummu Umairah Azahari, semalam, sebelum dia maut dalam kemalangan di Jalan Permatang Durian, Kepala Batas, tengah hari ini.

Muhammad Aseem maut akibat kecederaan di kepala dan badan selepas Proton Persona dinaiki bersama ibu, adik dan bapa saudaranya dipercayai terbabas sebelum merempuh pokok di kanan jalan ketika mereka dalam perjalanan menghala ke Pinang Tunggal.

Kejadian 1 tengah hari itu adalah kemalangan kali kedua dalam tempoh seminggu selepas mangsa mengalami kemalangan pertama ketika menunggang motosikal bersama bapanya, Mohammad Khalil Abdul Gani, 32, pada 9 malam 30 Ogos lalu di Jalan Pinggiran Bertam, tidak jauh dari lokasi kejadian hari ini.

Datuk mangsa, Azahari Saffar, 58, berkata, semalam arwah bertanya kepada ibunya mengenai syurga dan meminta membawanya ke sana.

Dia berkata, kemalangan pertama minggu lalu berlaku selepas arwah meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya dan ketika itu arwah dan bapanya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Bertam Perdana.

"Dalam kemalangan pertama, Muhammad Aseem mengalami kecederaan pada kaki, tangan dan kepala manakala menantu saya (Mohammad Khalil) maut di tempat kejadian.

"Selang seminggu, cucu saya pula meninggal dunia dalam kemalangan hari ini. Mungkin sudah takdir tertulis begitu dan kami reda dengan takdir Ilahi," katanya ketika ditemui di Hospital Kepala Batas (HKB).

Difahamkan, ketika kejadian hari ini, bapa saudara mangsa berusia 20 tahun yang memandu kereta cedera di kepala dan tangan manakala ibu mangsa dan adik lelakinya berusia tujuh bulan turut cedera serta dikejarkan ke HKB untuk rawatan.

Difahamkan, penduduk Taman Bertam Perdana membuat persiapan untuk mengadakan majlis tahlil untuk arwah Mohammad Khalil dan mereka terharu kerana anak arwah pula maut dalam kemalangan hari ini.

Azahari berkata, dia sempat melawat Muhammad Aseem ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas kemalangan pada 30 Ogos lalu dan arwah kerap merengek ketika ditemani ibunya sebelum dibenarkan keluar dari wad HPP pada 5 September lalu.

Dalam kejadian 30 Ogos lalu, bapanya, Mohammad Khalil maut selepas motosikal ditunggang bersama mangsa terbabit kemalangan dengan sebuah kereta yang terbabas dan terbalik.

Dalam kejadian hari ini pula, mangsa baru pulang selepas dibawa ibunya ke Klinik Kesihatan Penaga untuk mencuci luka di kaki dan tangan akibat kemalangan minggu lalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU) Superintendan Abd Aziz Daud mengesahkan kejadian itu.

Berita berkaitan

'Ajal kemalangan kedua'

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 5:54pm
d