utama

Anak tunggal hilang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PELAJAR perempuan berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Rawang, Gombak sejak Selasa lalu.

Menurut ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Latina, 40-an, anak tunggalnya, Isabelle, disedari hilang kira-kira 6 pagi.

"Pada pagi itu, saya menjenguk dia di biliknya, namun terkejut apabila mendapati Isabelle tiada.

"Saya terus menghubungi suami mengenai kehilangannya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Rawang beberapa jam kemudian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Latina berkata, kali terakhir Isabelle dilihat pada malam sebelum kejadian, dia memakai seluar pendek dan baju- t.

"Pemeriksaan di biliknya mendapati dia keluar tanpa membawa pakaian lain bersamanya kecuali telefon bimbit dan kunci rumah.

"Saya ada cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun gagal kerana dipercayai ia sudah dimatikan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi Isabelle boleh menghubungi saya di talian, 018-6657179 atau menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Kertas siasatan berhubung kejadian itu sudah dibuka dan usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 7:47pm
d