utama

Semangat baru demi peminat

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Menyelusuri perasaan penyanyi yang pernah mencipta fenomena, Elyana mengenai kerjaya seninya menyingkap satu rahsia yang tidak pernah dikongsi kepada umum sebelum ini.

Hidup bagaikan putaran roda, ada ketika kita berada di atas dan adakalanya di bawah. Mengecapi populariti pada usia 15 tahun, dengan kemunculan album pertama, Satu, Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal tiba-tiba saja hilang dari ‘radar’ industri seni selepas mencapai banyak kejayaan dalam 10 tahun pembabitan sebagai penyanyi dan menghasilkan empat album.

Kali terakhir tampil dengan single Sewaktu Dulu-Dulu lima tahun lalu dan selepas itu penyanyi kelahiran Shah Alam, Selangor itu seperti tidak lagi mahu aktif dengan alasan memberi tumpuan kepada rumah tangga yang dibina bersama kekasih hati, Khairul Anuar Husin.

Dalam diam, sebenarnya penyanyi yang pernah menghangatkan industri muzik tempatan dengan lagu bergenre pop rock itu seperti Tak Tercapai Akal Mu dan Kalis Rindu itu menyimpan rahsia besar dalam sanubarinya.

Segalanya terluah apabila Bling mempelawanya untuk sesi fotografi khas sempena kelahiran single terbarunya, Ikhlas Dalam Resah ciptaan Tam Spider dan lirik ditulis Budi Hikayat.

Elyana akui sejak awal pembabitannya dalam industri muzik tempatan, laluannya seperti dipermudahkan dan bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan.

“Cuma apabila kerjaya semakin berkembang diiringi populariti diperoleh, sampai satu tahap saya berasakan tidak lagi mempunyai kebebasan.

“Populariti diraih diiringi kritikan membuatkan saya kembali berfikir mengapa perlu terus berada dalam industri muzik andai orang tidak menyukai bakat saya,” katanya.

Sebagai manusia, Elyana akui mempunyai kelemahan. Luaran dia nampak kuat dan lasak tetapi hakikatnya dalamannya agak rapuh.

“Saya mudah terasa. Kalau ada yang perasan, sikap saya mula berubah dan buat ‘kepala’ sendiri pada saat sebelum saya mengambil keputusan untuk memperlahankan rentak kerjaya seni,” katanya.

'Buta' IT

Dalam melayari hidup sebagai penyanyi dan pelakon, Elyana akui satu lagi kelemahannya adalah dia tidak memiliki kelebihan dalam menguasai ilmu teknologi maklumat (IT).

“Saya memang ‘buta’ IT, tidak pandai menggunakan Internet sehinggakan untuk berurusan menerusi e-mel sekali pun saya mengharapkan orang lain melakukannya untuk saya. Saya lewat menerima dan mengamalkan teknologi media sosial termasuklah YouTube.

“Apabila kenal dan tahu apa itu YouTube, saya hanya menontonnya termasuklah menyaksikan apa yang dimuat naik membabitkan saya dan kerjaya seni. Begitupun, dalam tempoh itu saya tidak pernah membaca segala komen yang dimuat naik umum membabitkan diri saya.

“Sehinggalah satu hari saya tergerak untuk melihat apa pandangan mereka terhadap saya apabila saya tidak lagi aktif di arus perdana industri seni,” katanya.

Sebaik membaca panda­ngan dan komen diberikan, Elyana rasa terharu dan menangis. Rupa-rupanya ramai peminat bertanya ke mana dia menghilang dan mahu dia kembali mewarnai industri muzik tempatan.

“Saya terkejut dan tidak menyangka ternyata komen negatif mengenai bakat saya sebelum ini hanya membabitkan segelintir saja. Lumrah hidup ada orang suka dan ada yang tidak sukakan kita.

“Waktu itulah saya menghubungi kembali pengurusan syarikat rakaman dan menggesa mereka untuk meneruskan projek yang tertangguh sebelum ini,” katanya.

Kata Elyana, kontraknya bersama FMC Music sudah tamat tetapi dia masih berhutang satu album. Dengan semangat yang baru diperoleh, Elyana berazam mahu melunaskan hutang tertunggak di samping memenuhi kehendak peminat yang merindui bakat nyanyiannya.

“Single terbaru saya ini adalah pembuka jalan untuk saya kembali aktif. Lagu ini juga single permulaan untuk mempromosikan kembali diri saya sebagai penyanyi di arus perdana.

“Setakat ini empat lagu dirakamkan dan kini saya sedang mengumpulkan beberapa lagi lagu bagi meleng­kapkan album terbaru yang bakal dipasarkan,” katanya.

Biar hanya dirinya ke depan

Kembali aktif di arus perdana industri seni bermakna Elyana yang sebelum ini menyepi seketika, harus kembali berdepan dengan situasi di mana perihal peribadinya menjadi perhatian.

Perkara itu sudah mula dirasai Elyana apabila baru-baru ini timbul isu mengatakan dia kini berhadapan dengan masalah rumah tangga.

Dakwaan dibuat berdasarkan laman sosial instagram miliknya yang kebelakangan ini jarang memuat naik gambarnya bersama suami dan anak.

Perkara itu juga turut hangat diperkatakan sekali lagi apabila sepanjang sambutan Aidiladha lalu, dia hanya memuat naik gambarnya seorang tanpa suami dan anak.

Bagaimanapun, Elyana sebelum ini menafikan berpisah dengan suami. Sebagai bukti, sewaktu hadir untuk sesi fotografi khas bersama Bling, suaminya sendiri menghantarnya ke lokasi.

Kata Elyana, dia sebelum ini memutuskan untuk tidak mencampurkan urusan peribadi dalam kerjaya seni, lebih-lebih lagi berkaitan keluarganya.

Elyana juga sebaik mungkin mahu menggunakan laman sosial sebagai landasan berkongsi kerjaya seninya dengan peminat dan bukan hal peribadi.

“Kalau hendak bercerita mengenai keluarga kepada umum, perihal itu sudahpun saya lakukan pada awal pembabitan dalam industri seni. Ketika itu hampir semua ahli keluarga termasuk ibu, ayah dan kakak saya turut sama membantu dan mengendalikan kerjaya saya.

“Tapi kini keadaan berbeza. Saya baru hendak bertapak kembali, jadi rasanya lebih baik saya memberi tumpuan kepada kerjaya terlebih dulu. Andai segalanya berjalan baik seperti dirancang, barulah saya bersedia untuk berkongsi perkara lain termasuk hal peribadi.

“Satu perkara yang saya perasan sekarang dengan kemajuan teknologi media sosial, kebanyakan daripada kita lebih berminat untuk melihat gaya hidup seseorang selebriti berbanding produk atau kerjaya seni mereka,” katanya.

Apa pun kata Elyana, dia tidaklah bertegas menyatakan ahli keluarganya tidak boleh langsung dikaitkan dengan kerjaya seninya, cuma ia harus selaras dengan keperluan.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 3:07am
d