utama

18 kek gergasi

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Lapan belas kek gergasi pelbagai tema dan warna dipersembahkan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Istana Negara Mohd Husni Yusop, acara tradisi berkenaan diadakan sebagai tanda menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Setiap kek yang dipersembahkan ada tema tersendiri mengikut kreativiti hotel masing-masing termasuk menampilkan rekaan seni bina dan nilai-nilai warisan Melayu serta ikonik negara.

“Ia dipersembahkan pengurusan hotel sekitar Lembah Klang dan Kota Bharu, Kelantan sebagai tanda menjunjung kasih kepada baginda,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu katanya, pihak Istana Negara bekerjasama dengan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) Jabatan Perdana Menteri serta pelbagai agensi kerajaan lain membuat persiapan awal dalam memastikan kelancaran majlis sambutan.

“Persiapan dibuat bermula selepas Istiadat Pertabalan baginda pada April lalu dan semuanya sama seperti sambutan sebelumnya.

“Tetapi, bezanya pada kali ini, ia disambut pada 9 September tidak seperti sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang disambut setiap Sabtu minggu pertama pada Jun,” katanya.

Katanya, pelbagai acara diatur sepanjang bulan ini bermula Khamis lalu dan berakhir pada 19 September depan sempena sambutan berkenaan.

“Majlis solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat serta solat Jumaat dan khutbah khas diadakan pada kelmarin dan semalam di Masjid Wilayah Persekutuan.

“Pada pagi esok (hari ini), Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat Persekutuan akan diadakan di Istana Negara manakala pada sebelah petang Ahad (esok) Majlis Jamuan Teh Diraja turut diadakan di Istana Negara dengan dihadiri tetamu jemputan khas.

“Acara selanjutnya akan diadakan Forum Perdana Diraja pada Khamis ini pada sebelah malam di Istana Negara dengan dihadiri kira-kira 1,000 tetamu jemputan khas serta kemuncak sambutan akan berlangsung Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan, Putrajaya dan orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan acara berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 6:31am
d