utama

'Hampa dah habih pikiaq ka?'

Oleh BERNAMA

WARGA emas cemas apabila rumah didiami dirinya sekeluarga di Taman Permai Jaya, dekat Bukit Mertajam, dilastik dengan guli, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata menurut lelaki 65 tahun itu kejadian pada 5.30 pagi.

Katanya, ketika itu dia sedang berada di bahagian luar rumah teres dua tingkat miliknya itu.

“Tiba-tiba Perodua Alza putih berhenti di hadapan rumahnya dan pemandunya iaitu lelaki membuka cermin di sebelahnya dan mengeluarkan tangan sambil memegang sesuatu.

“Ketika itu mangsa terdengar bunyi letupan dua kali dan dia terus bersembunyi di sebelah kusyen di halaman rumahnya,” katanya.

Beliau berkata, kereta itu kemudiannya terus beredar dari rumah mangsa, namun nombor pendaftaraan kenderaan itu tidak dapat dikenalpasti.

Nik Ros Azhan berkata, ketika kejadian, ibu, isteri dan tiga anak bersama dua cucu mangsa yang sedang tidur terjaga selepas terdengar bunyi ‘tembakan’ berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan pemeriksaan awal mendapati cermin tingkap atas rumah berkenaan pecah.

“Pemeriksaan polis juga mendapati tiada kesan terbakar di tempat cermin yang pecah itu.

“Pasukan forensik turut menemui guli yang ada kesan pecah di tempat kejadian dan suspek dipercayai menggunakan lastik guli,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya suspek bertindak sedemikian untuk mendatangkan ugutan jenayah dan khianat ke atas penghuni rumah itu, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kami masih menyiasat motif kejadian dan mendapatkan rakaman CCTV di lokasi berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 kanun keseksaan.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 11:24pm
d