utama

'Lambek bonar' panggil bomba...

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KELEWATAN bomba menerima panggilan orang awam berhubung kejadian kebakaran di Pasar Besar Seremban mengakibatkan keseluruhan tingkat atas pasar berkenaan musnah 100 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata, kebakaran dipercayai berlaku kira-kira setengah jam lebih awal sebelum pihaknya menerima panggilan jam 7.36 malam.

Menurutnya, pasukan tiba di lokasi enam minit kemudian dan mendapati api sudah merebak ke hampir keseluruhan tingkat atas bangunan berkenaan.

"Berdasarkan maklumat awal, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah kedai makan di bahagian tengah. Sebanyak enam jentera dan 40 anggota terbabit dalam operasi ini.

"Bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke tingkat bawah dan mengambil masa yang lama untuk memadamkan kebakaran. Kita perlu memastikan tiada sisa api di semua 197 lot kedai terbabit," katanya pada sidang media, malam ini.

Katanya, tingkat atas musnah 100 peratus dan kerja pemadaman masih dijalankan berkemungkinan berakhir tengah malam ini.

Norazam berkata, pihaknya menasihati peniaga mengosongkan bangunan selama tempoh 14 hari untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Akta Bomba 1988, selain mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, sebanyak 197 peniaga iaitu 99 kedai makan, buah-buahan (58), ikan (16), taufu (14) dan bunga (10) mengalami kerugian akibat kejadian itu.

Beliau berkata, ia tragedi paling buruk sejak 39 tahun pasar berkenaan beroperasi dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri serta agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

"Kita akan menjalankan siasatan lanjut pagi esok dan seterusnya mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan serta persatuan peniaga untuk penempatan sementara peniaga yang terjejas," katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sembilan Datuk Jalaluddin Alias turut hadir melawat lokasi kejadian.

Berita berkaitan:

Pasar Besar Seremban dijilat api

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 12:05am
d