utama

Dua wirawati bomba jadi siulan di media sosial

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Khairul Najib Asarulah Khan

KETANGKASAN dua anggota bomba wanita melaksanakan tugas ketika operasi memadam kebakaran Pasar Besar Seremban pada Sabtu lalu, menjadi perhatian ramai apabila gambar mereka tular di laman sosial.

Tugas yang dilakukan Nor Maisarah Ibrahim, 27, dan Siti Norhaliza Zakaria, 19, mengendalikan peralatan berat serta memadamkan kebakaran dirakam individu sebelum dimuat naik di Facebook (FB).

Mereka antara 40 pegawai dan anggota yang ditugaskan memadam kebakaran di tingkat satu, selepas bomba menerima panggilan kejadian jam 7.36 malam.

Nor Maisarah yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban berkata, dia hanya mengetahui gambarnya tular selepas seorang rakan menghantar WhatsApp, semalam.

Katanya, dia tidak menyangka ada yang merakam gambar mereka kerana fokus melakukan kerja untuk memadamkan kebakaran.

"Saya sudah biasa melakukan aktiviti lasak kerana minat kepada cabaran dan sukan lasak sejak di sekolah. Sebelum ini, saya bertugas sebagai jururawat tetapi menukar kerjaya sebagai anggota bomba kerana minat itu.

"Saya menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu selama empat bulan dan bertugas di Perak selama sebulan kemudian ditukarkan ke Seremban pada Mei lalu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam tugasan, katanya, tiada diskriminasi atau perbezaan jantina kerana mereka perlu menjalankan tugas secara berkumpulan tanpa melihat sama ada wanita atau lelaki.

Sementara itu, Siti Norhaliza berkata, pada mulanya dia malu apabila mengetahui gambarnya tular di FB tetapi tidak menyangka ramai pula memberi sokongan moral untuknya terus berkhidmat dalam pasukan beruniform itu.

"Dulu saya tidak minat menjadi anggota bomba tetapi selepas menyertai pasukan, rasa minat itu timbul dan saya berusaha melakukan tugas dengan baik," katanya yang berasal dari Terengganu.

Menurutnya, kerjaya bomba berjaya mendidik dan melatihnya menjadi lebih berdisiplin serta membentuk semangat jati diri yang tinggi.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 7:22pm
d