utama

McLaren, Honda bakal berpisah

Oleh Reuters

London: Pemisahan McLaren dan Honda, dan kerjasama baru dengan Renault, dilihat tidak mampu dielak lagi dan khabar angin itu semakin kencang apabila Formula Satu kembali ke Asia bermula saingan di Singapura hujung minggu ini.

Pelbagai sumber memberitahu perbincangan berlaku seperti dijangka dan pengesahan rasmi bakal dibuat beberapa hari lagi.

Keretakan hubungan McLaren-Honda semakin ketara sejak beberapa bulan lalu dengan bekas juara McLaren tidak berpuas hati dengan masalah enjin yang menyebabkan mereka berada di tangga kesembilan daripada 10 pasukan bertanding.

Laporan media hujung minggu lalu turut menyatakan pemandu Toro Rosso Carlos Sainz bakal menyertai Renault pada 2018, dan mungkin sebelum itu menghangatkan spekulasi bahawa persetujuan sudah dicapai.

Perpindahan pelumba Sepanyol itu bakal menjadi sebahagian daripada persetujuan umum yang yang akan menyaksikan Honda akan membawa enjin mereka ke Toro Rosso yang dimiliki Red Bull manakala bekalan enjin Renault akan menjadi milik McLaren.

McLaren memerlukan enjin yang lebih kompetitif demi memuaskan hati penaja dan mengekalkan khidmat juara dunia dua kali dari Sepanyol Fernando Alonso, yang bakal tamat kontrak pada akhir musim.

Laporan media Sepanyol mengatakan bahawa Sainz - pelumba muda yang sekian lama dingini Renault dijangka berpindah ke pasukan pengeluar Perancis sebagai ‘gula-gula’ buat Toro Rosso menamatkan kontrak enjin mereka.

Ada yang mengandaikan Sainz akan bertukar pasukan sebaik berada di Malaysia, perlumbaan berikutnya selepas Grand Prix Singapura, sekiranya Renault ingin menggugurkan khidmat pelumba Britain Jolyon Palmer, yang masih belum mengumpul mata selepas 13 perlumbaan.

Perkara itu akan membuka ruang di Toro Rosso buat Pierre Gasly, juara kejohanan GP2, yang menanti masa untuk mula beraksi bersama pasukan remaja Red Bull.

“Saya tahu beberapa perkara berlaku ketika ini,” kata motorsport.com yang memetik pelumba Perancis yang beraksi di Super Formula Jepun sebagai berkata.

“Kita lihat saja apa akan berlaku beberapa hari lagi.

“Bagi saya, ia pasti menakjubkan. Formula Satu adalah impian saya dan saya bekerja keras untuk sampai ke sana,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 5:18am
d