utama

Tinggal di timbunan sampah

Oleh Mohamed Sahidi Yusof

SUAMI isteri terpaksa menjadikan kawasan pelupusan sampah di Jalan Tanah Merah-Jeli, di Tanah Merah, sebagai tempat tinggal sejak 10 tahun lalu berikutan kesempitan hidup.

Lebih menyedihkan, Zaidi Saat, 56 dan isterinya Kamariah Hussien, 54, membina sebuah bangsal menggunakan sisa kayu dan papan terbuang di kawasan itu untuk dijadikan tempat berteduh.

Keadaan itu ditempuhi mereka demi mencari rezeki hasil jualan barangan terbuang di kawasan berkenaan.

Zaidi berkata, dia tiada pilihan dengan menjadikan tempat pembuangan sampah sebagai kediaman kerana di situ juga punca sumber mencari rezeki bagi menyara kehidupan.

"Saya tidak mampu untuk menyewa rumah yang pastinya perlu membayar sewa lebih tinggi berbanding pendapatan yang diperoleh hasil jualan barangan terbuang.

"Biarpun tinggal di kawasan pelupusan sampah tanpa bekalan elektrik dan tiada sumber air bersih, namun itulah kediaman terbaik buat kami pada masa ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini mereka tinggal di Dabong, Kuala Krai dengan bekerja sebagai penoreh getah serta mencari sumber dari hutan.

"Bagaimanapun, akibat kesempitan hidup, saya membuat keputusan meninggalkan kampung untuk mencari pekerjaan lain kira-kira 10 tahun lalu.

"Akhirnya kawasan pembuangan sampah ini menjadi tempat kami mencari rezeki dan akan terus tinggal di sini," katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 4:46pm
d