utama

Hafiz sedia bantu tingkat prestasi pemain

Oleh Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Bekas juara Seluruh England 2003, Muhamad Hafiz Hashim sudah bersedia untuk berkhidmat sebagai jurulatih andai menerima tawaran rasmi daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan itu berkata, semua perkara yang pernah merencatkan hasrat menjadi jurulatih sebelum ini sudah pun diselesaikan dan hanya menunggu BAM membuat keputusan.

“Jika BAM berminat untuk mendapatkan khidmat saya, saya sudah bersedia dan boleh memulakan tugas pada bila-bila masa. Sebelum ini, ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan dulu terutama membabitkan penaja saya.

“Namun, sekarang semuanya sudah selesai dan kini terpulang kepada BAM. Saya juga ada mengadakan pertemuan dengan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengenai perkara ini dan terserah kepada beliau” kata Hafiz ketika dihubungi, semalam.

Jun lalu, BAM dilapor berminat untuk mendapatkan khidmat Hafiz sebagai jurulatih perseorangan wanita bagi membantu ketua jurulatih wanita, Tey Seu Bock dan Rony Agustinus.

Malah, Hafiz ketika itu turut mengadakan perbincangan dengan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen bagi membincangkan mengenai tawaran untuk dilantik sebagai jurulatih.

Namun, disebabkan komitmennya pemain profesional dan penaja, Hafiz terpaksa menangguhkan dulu perbincangan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Hafiz yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 di Manchester berkata, beliau mahu berkongsi pengalamannya bersama pemain negara terutama wanita dalam usaha meningkatkan prestasi mereka di pentas antarabangsa.

“Saya memang sudah lama berhasrat untuk membantu pemain negara dengan menjadi jurulatih. Kali ini, memang saya sudah bersedia dan diharapkan peluang itu akan ada tetapi semuanya terpulang kepada BAM.

“Saya mahu berkongsi pengalaman sepanjang bergelar pemain kepada pemain yang ada sekarang. Saya juga ingin menyaksikan pemain wanita kita menyerlah di pentas antarabangsa,” katanya yang mempunyai Sijil Kejurulatihan Tahap 1.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 4:32am
d