utama

271 pasangan pecah rekod

Oleh Helmy Abd Rahman

SERAMAI 271 pasangan dari seluruh Terengganu memecahkan rekod Malaysia Book of Record (MBR) bagi pengantin paling ramai dalam satu masa pada Majlis Pelancaran dan Resepsi Keluarga Generasi TTB: Perkahwinan Perdana 2017 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Program itu kali kedua dianjurkan selepas dan mengatasi jumlah pengantin tahun lalu sebanyak 217 pasangan.

Bilangan peserta tahun ini meliputi 24 pasangan dari Besut, Setiu (25), Hulu Terengganu (23), Marang (39), Kemaman (42), Dungun (48), Kuala Nerus (36) dan Kuala Terengganu (34).

Bagi menjayakan program berkenaan kerajaan negeri memperuntukan kira-kira RM2 juta untuk membiayai kursus perkahwinan, penyediaan tempat dan perbelanjaanmengadakan majlis persandingan beramai-ramai selain penyediaan jurunikah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program itu hasil cetusan idea orang ramai dan dibentangkan kepada kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri amat memahami dengan kehendak ramai, terutama golongan muda yang ingin mendirikan rumahtangga, namun hasrat terhalang kerana kos perkahwinan kian meningkat.

"Kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis perkahwinan secara beramai-ramai bagi membantu rakyat untuk berumah tangga selaras dengan prinsip TTB (Transformasi Terengganu Baharu) iaitu Keluarga Bahagia.

"Kita sentiasa mengamalkan sifat inklusif dan mendengar seterusnya menerima cadangan rakyat Terengganu.

"Program ini juga sebahagian kecil usaha sedang giat dilakukan kerajaan negeri untuk mengurangkan beban rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Resepsi Keluarga Genarasi TTB Perkahwinan Perdana di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, tengah hari tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Mohd Zuber Embong, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud serta Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Ahmad Razif berkata, kerajaan prihatin dengan kehendak ramai, terutamanya golongan muda yang ingin mendirikan rumahtangga, tetapi namun hasrat mereka terhalang berikutan kos perkahwinan semakin meningkat.

"Saya amat gembira kerana ramai mengucapkan terima kasih kepada saya secara peribadi, ada yang hantar WhatsApp kata jika kerajaan negeri tidak anjurkan majlis seperti ini, jawabnya terpaksa tunggu dua ke tiga tahun lagi baru dapat berumah tangga," katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 5:15pm
d