utama

Peledak sempurna!

Oleh AFP

London: Jose Mourinho memberi sokongan buat Romelu Lukaku untuk menyinar di laman kelab lamanya ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester United menanti kunjungan Everton di Old Trafford malam ini.

Rekod United di liga itu dilihat sempurna sehinggalah mereka terikat 2-2 di Stoke Sabtu lalu, biarpun kekecewaan bolos dua gol itu ditebus jaringan hebat daripada Lukaku dan Marcus Rashford.

Lukaku yang kini berusia 24 tahun dan mempunyai pengalaman enam tahun di Liga Perdana bersedia untuk cemerlang di tahap tertinggi, menurut pengurusnya, tidak seperti pada 2001 ketika pemain itu menyertai Chelsea dari Anderlecht.

“Saya fikir Romelu datang ke sini pada detik yang tepat,” kata Mourinho.

“Usianya semakin matang. Dia mempunyai pengalaman beberapa tahun dengan kelab berbeza di Liga Perdana. Jelas sekali dia pemain yang sudah menyesuaikan diri dengan Liga Perdana.

“Dia sudah mempunyai teman rapat di bilik persalinan dan mudah menyesuaikan diri dengan kumpulan kami. Corak permainan pasukan setanding dengan kualitinya sebagai pemain. Jadi saya fikir dia datang pada detik tepat dalam kariernya.”

Permulaan hebat Lukaku di Old Trafford dengan enam gol hasil enam perlawanan buat United menampung ketiadaan pemain tengah Perancis Paul Pogba, yang mungkin tidak dapat beraksi beberapa minggu.

Kecederaan hamstring yang dialami Pogba ketika babak awal aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu dengan kemenangan 3-0 ke atas Basel, sudah pasti akan menghalangnya daripada menyertai aksi malam ini.

Malah masih belum dapat dipastikan sama ada pemain Perancis itu dapat mewakili negaranya dalam kelayakan Piala Dunia menentang Bulgaria dan Belarus Oktober depan.

Perkembangan itu sedikit mengecewakan United yang memulakan hujung minggu di puncak Liga Perdana selepas mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan pembukaan.

Phil Jones dan Eric Bailly dijangka kembali ke bek tengah selepas tidak beraksi menentang Basel berikutan penggantungan manakala Antonio Valencia akan kembali ke bek kanan, selepas beraksi awal pagi Rabu dengan Ashley Young beraksi buat pertama kali sejak pulih daripada pembedahan susulan masalah hamstring.

Sebaliknya kepulangan Rooney ke Goodison Park dari United - menggantikan Lukaku - tidak berjalan lancar seperti pemain Belgium itu biarpun menjaringkan gol dalam dua aksi liga terawal musim ini.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 2:29am
d