utama

'Habis semua kita bedal!'

Oleh BERNAMA

KONTINJEN negara menyapu bersih tujuh pingat emas yang ditawarkan di Velodrom Nasional pada hari pertama Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017) yang membuka tirainya hari ini.

Walaupun upacara perasmian hanya akan berlangsung malam ini, skuad berbasikal negara sudah menterjemahkan semangat ‘luar biasa’ mereka dengan cemerlang.

Adi Raimie Amizazahan muncul penyumbang emas pertama negara menerusi acara kilometer (C1, C2, C3) selepas mencatat masa 1 minit 17.232 saat di garisan penamat.

Rakan senegara Yusof Hafizi Shaharuddin pula meraih perak dengan catatan masa 1:22.844s manakala gangsa dimenangi pelumba Singapura, Tan Hun Boon dengan 1:48.672s.

Pingat emas kedua negara pula diperoleh dalam acara kilometer (C4) lelaki menerusi Najib Turano selepas mencatat 1:12.771s manakala seorang lagi pelumba negara Hafiz Jamali meraih perak dengan masa 1:16.493s.

Pelumba Indonesia, Fadli Imammuddin terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dengan 1:17.444s.

Emas ketiga disumbang pelumba wanita negara Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dalam acara pecut (B) wanita. Nur Azlia dengan jurumudi Noraidillina Adila J Sam menewaskan pelumba Singapura, Emily Lee dan jurumudi Sarah Tan 2-0 yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Gangsa pula dimenangi seorang lagi pelumba negara Nur Syahida Tajudin bersama jurumudi Nur Rozi Yanti Mat Rodzi yang menewaskan pelumba Singapura, Delia Kang dengan jurumudi Jeynelle Lee.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia di Amerika Syarikat, Afiq Afify Rizan membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila menyumbang emas keempat negara dalam acara pecut (B) lelaki.

Afiq bersama jurumudi Khairul Adha Rasul menewaskan rakan senegara Amin Najmi Romzi yang dikemudi Firdaus Mohd Zonis 2-0 dalam penentuan pingat emas dan perak.

Gangsa pula diraih pelumba Singapura, Jessen Ng bersama jurumudi Calvin Sin yang menewaskan pelumba Brunei, Izan Safree Radat dan jurumudi Feasal Nurfadillah.

Pingat emas kelima dimenangi Zuhairie Tarmizi dalam acara kilometer (C5) lelaki selepas mencatat masa 1:09.690s mengatasi pelumba Filipina, Arthus Eustaquio Bucay yang mencatat 1:15.432s untuk perak.

Gangsa pula diraih pelumba Indonesia, Sufyan Saori dengan catatan masa 1:19.170s.

Nur Azlia meraih emas keenam negara yang juga emas kedua peribadi dalam acara kilometer (B) wanita selepas mencatat 1:19.359s diikuti rakannya Nur Syahida yang meraih pingat perak dengan 1:20.353s.

Gangsa milik pelumba Singapura, Emily dengan 1:25.871s.

Pingat emas terakhir negara diperoleh dalam acara kilometer (B) lelaki menerusi Afiq dengan 1:04.236s diikuti rakan senegara Amin yang mencatat 1:07.182s untuk pingat perak.

Gangsa milik pelumba Singapura, Jessen dengan 1:14.542s.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 3:15pm
d