utama

'Potong elektrik, sekat air, roboh kongsi'

Oleh Siraj Mohd Zaini

SERATUS tiga puluh lima warga asing ditahan dalam Ops Ikrar yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kampung Melayu Subang, awal pagi ini.

Operasi lebih enam jam itu dijalankan di tiga penempatan di kawasan perindustrian Kampung Melayu Subang, bermula 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata dalam operasi itu 360 warga asing diperiksa dan 135 membabitkan warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar ditahan.

"Daripada jumlah itu, 110 adalah lelaki dan 25 wanita berusia antara 21 hingga 50 tahun," katanya ditemui selepas operasi itu.

Dalam pada itu, Mustafar menggesa agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama dengan JIM bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, isu membabitkan PATI bukan hanya tanggungjawab JIM kerana setiap agensi mahupun PBT mempunyai bidang kuasa tersendiri.

Menurutnya, JIM melakukan operasi setiap hari bagi membanteras PATI namun isu itu tidak selesai jika pihak berkaitan tidak melakukan tindakan susulan sewajarnya.

"Agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai kuasa memotong bekalan, syarikat pembekal air juga boleh mengambil tindakan jika berlaku penyambungan air secara haram di rumah kongsi.

"Selain itu, PBT juga boleh bertindak merobohkan premis jika melanggar peraturan atau lesen. Ini yang dikatakan memutuskan rantaian kesalahan.

"Kita tidak mahu selepas beberapa jam operasi PATI dilakukan, kediaman dan tempat kerja secara haram mereka terus beroperasi seperti biasa," katanya.

Mustafar berkata, JIM turut mendapat kerjasama baik daripada PBT yang melakukan tindakan susulan selepas operasi menggempur PATI dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, imigresen meminta lebih banyak pihak terbabit turut bertindak agresif membanteras isu berkenaan.

"Ramai yang hanya tahu menyalahkan Imigresen selepas PATI mula mendiami kawasan kejiranan mereka sehingga pelbagai isu lain timbul.

"Kita mahu tindakan susulan diambil setegas-tegasnya supaya premis ataupun rumah kongsi yang dalam keadaan busuk, kotor dan berbahaya itu tidak beroperasi semula," katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 10:11am
d