utama

City lebih tertekan

Oleh AFP

London: Pemain Manchester United Ander Herrera berkata ‘pasukan pilihan’ Manchester City berdepan tekanan untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris selepas berbelanja besar dan gagal menjuarai sebarang gelaran musim lalu.

Kedua-dua kelab Manchester itu berkongsi tangga teratas liga dengan rekod sama iaitu 13 mata daripada lima perlawanan dan 14 perbezaan gol.

United menjuarai Liga Europa, Piala Liga dan Perisai Komuniti dibawah kendalian Jose Mourinho pada kempen pertamanya tetapi menduduki tangga keenam liga.

City menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Juara selepas bermula cemerlang di bawah kendalian Pep Guardiola namun gagal menjulang sebarang trofi.

Manchester City yang dimiliki jutawan Abu Dhabi adalah kelab Liga Perdana Inggeris yang mencatat perbelanjaan tertinggi pada musim perpindahan kali ini iaitu £215 juta (RM1.21 bilion) manakala United berbelanja lebih daripada £140 juta (RM793.6 juta).

“Man City paling banyak berbelanja dalam Liga Perdana jadi mereka adalah pencabar utama kejuaraan,” kata Herrera.

“Kami juga akan berada di sana. Kami juga mempunyai kualiti dan akan cuba merebut setiap gelaran tetapi saya fikir dengan jumlah wang yang mereka belanjakan, mereka adalah pasukan pilihan.”

Pemain tengah United itu yang bergelut mempamerkan aksi di padang musim ini menambah: “Kami menang tiga gelaran musim ini dan City tidak menang apa-apa. Mereka tertekan.

“Mereka terpaksa menang gelaran. Kami menang tiga musim lalu jadi mereka mempunyai lebih banyak kewajipan berbanding kami. Namun apabila anda bermain dengan Man United, kemenangan adalah satu jangkaan dan kewajipan tetapi secara jujurnya saya sukakan kewajipan itu.”

United memulakan misi mempertahankan Piala Liga ke atas Burton Albion awal pagi Khamis, apabila Sergio Romero mungkin beraksi buat kali pertama musim ini menggantikan David De Gea yang beraksi cemerlang.

Herrera percaya De Gea adalah penjaga gol terbaik dunia tetapi berkata United perlu menang banyak gelaran bagi memastikan mereka terus mengikat penjaga gol itu yangs sering dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

“Sudah tentu saya melihatnya kekal di sini untuk beberapa tahun lagi. Anda boleh lihat bagaimana bagusnya David. Kami perlu menang banyak gelaran supaya dia kekal bersama kami. Itulah yang kami lakukan musim lalu,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 4:01am
d