utama

21 murid antara 248 korban gempa bumi

Oleh Reuters

JUMLAH kematian akibat gempa bumi 7.1 magnitud yang melanda tengah Mexico hari ini, meningkat kepada 248 orang, termasuk 21 murid yang tertimbus dalam sekolah rendah.

Menteri Dalam Negeri Mexico, Miguel Osorio Chong, berkata seramai 117 orang maut di Mexico City, Morelos (55 orang) dan Guerrero (tiga orang).

Jabatan bencana Mexico menyatakan sekurang- kurangnya 12 disahkan maut di negeri Mexico.

Gempa bumi pada 1.14 petang waktu tempatan (12.14 tengah malam waktu Malaysia) berlaku pada tarikh yang sama dengan gempa bumi besar pada 1985 yang mengorbankan 10,000 orang. Gempa bumi itu juga berlaku 12 hari selepas gempa bumi yang mengorbankan hampir 100 orang di Oaxaca and Chiapas.

Bangunan tiga tingkat Sekolah Rendah Enrique di selatan Mexico City ranap sepenuhnya menghempap murid dan guru.

Timbalan Menteri Pendidikan, Javier Trevino, berkata 21 murid empat dewasa terbunuh.

Presiden Mexico Enrique Pena Nieto yang berkejar ke tempat kejadian berkata, jumlah korban di sekolah itu mungkin meningkat kerana 30 murid dan lapan dewasa masih hilang.

Menurut media tempatan, tentera yang membantu kerja menyelamat menemui seorang murid di bawah runtuhan dan sedang berusaha mengeluarkannya. Mereka menyalurkan oksigen kepada kanak-kanak itu.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 3:11pm
d