utama

Sampai hati hentak guru

Oleh Junaidi Ladjana

GURU wanita sekolah rendah di Lahad Datu menerima 17 jahitan di kepala selepas dihentak dengan batu oleh pelajar sekolah menengah di surau sekolah guru itu, kelmarin.

Pada kejadian 1.50 tengah hari itu, suspek, pelajar lelaki, 13, dikatakan bertindak demikian ketika mahu mencuri duit milik guru wanita, 23, itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, ketika kejadian, guru terbabit sedang solat Zohor di surau sekolah tempatnya mengajar.

"Ketika tahiyat akhir... suspek (pelajar) menghentak guru terbabit dengan batu kerana bimbang mangsa menyedari duitnya dicuri.

"Berikutan itu, guru terbabit menjerit sebelum pengawal keselamatan serta guru lain yang terdengar jeritan itu segera menangkap suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, siasatan mendapati suspek ponteng sekolah dan datang ke surau sekolah tempat mangsa mengajar dipercayai untuk mencuri.

"Suspek kini direman mengikut Seksyen 393/324 Kanun Keseksaan.

"Guru wanita yang menerima 17 jahitan bagaimanapun dilaporkan stabil," katanya.

Difahamkan, sekolah rendah itu terletak berhampiran dengan sekolah menengah.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 5:51pm
d