utama

Ziyad pecah rekod kejohanan

Oleh Ferzalfie Fauzi

JERITAN sekumpulan penyokong Ziyad Zolkefli dari tempat duduk penonton berjaya memberikan semangat luar biasa buat ikon para itu yang bukan saja berjaya mempertahankan emas lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) tetapi memecahkan rekod temasya dan Asia dengan catatan 16.81 meter.

Dia yang masih segar dengan kemenangan gangsa Sukan SEA bulan lalu, mengucapkan terima kasih kepada sekumpulan penyokong itu yang sentiasa memberi semangat dan tidak putus-putus menjerit terutama sekali pada lontaran terakhir.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan atlet berasal dari Gombak itu memberikan petanda positif dia mampu mencapai impiannya melayakkan diri ke Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun depan dengan sekurang-kurangnya memecahkan rekod kebangsaan milik Adi Alifuddin sejauh 17.56m.

“Pertama sekali hari ini (semalam) saya berjaya memberi tumpuan 100 peratus dan memberikan yang terbaik khas buat keluarga, jurulatih dan penyokong yang datang menonton saya beraksi. Saya gembira dengan catatan 16.81m kerana sasaran saya pun untuk melakar catatan di sekitar itu selepas menjalani latihan paling maksimum sebelum Sukan SEA.

“Ini hanya kesinambungan selepas Sukan SEA walaupun saya mengurangkan sedikit tahap latihan tapi keputusannya masih mampu membuatkan saya berpuas hati dan gembira. Terima kasih kepada mereka yang datang memberi semangat dan tidak putus-putus menjerit kepada saya,” kata pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Kejohanan Dunia IPC London 2017.

Umum mengetahui Ziyad bukan seorang atlet biasa, selepas tenang mempertahankan emas Para ASEAN dan meraih gangsa Sukan SEA, dia mula memasang hajat untuk kekal dengan lontaran 17m ke atas hingga tahun depan, seterusnya melonjak ke 18m di mana-mana kejohanan yang disertai.

“Program latihan saya akan bermula November ini selepas berakhir Sukan SEA dan Para ASEAN saya diminta untuk bertenang serta mengikut segala perancangan menurut susunan yang ditetapkan. Saya berjanji untuk melonjakkan diri saya hingga ke peringkat Sukan Asia,” kata atlet berusia 27 tahun itu.

Rekod temasya sebelum ini dilakar Ziyad di Para ASEAN Myanmar pada 2014 dengan catatan 15.69m, manakala rekod Asia pula dicatatkannya di Terbuka China di Beijing pada 2015 (15.78m).

Perak dalam acara semalam diraih rakan senegara Alif Awi (12.79m) manakala Sanepoot Boonkong dari Thailand hanya berpuas hati dengan gangsa (11.99m).

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 3:23pm
d