utama

'Rupanya kepala bayi dah keluar'

Oleh Nor Raidah Awang

“SAYA terasa hendak buang air kecil, tiba-tiba ada benda bulat, rupanya kepala bayi dah keluar,” kata Nurshamila Ishak, 27.

Nurshamila dari Kampung Bukit Bertam, Batu Kurau berdepan detik cemas apabila melahirkan bayi lelakinya di dalam tandas stesen minyak Shell di Taman Lela, Pengkalan Limau, Kamunting dekat Taiping, kelmarin pada 6.50 pagi.

Kejadian itu tular di media sosial sejak semalam dan mendapat reaksi pelbagai daripada netizen.

Menurut Nurshamila, ketika hari kejadian dia membonceng motosikal yang ditunggang suami, Abdul Malik Amik, 48, ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan susulan.

Katanya, setiba di stesen minyak di Taman Lela, dia terasa hendak membuang air kecil menyebabkan suami memberhentikan motosikal dan dia kemudian ke tandas.

"Ketika itu, hanya Allah saja mengetahui perasaan takut terjadi apa-apa pada anak, ini pengalaman yang cukup sukar dilupakan dan menjadi sejarah dalam hidup saya.

"Alhamdulillah syukur dengan bantuan kakitangan stesen minyak yang tidak henti-henti membantu tenangkan saya, semuanya selamat sehingga ambulans datang dan membawa kami ke hospital," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Katanya, buat masa ini, dia dan suami belum memikirkan nama sesuai bagi bayi seberat 2.53 kilogram itu.

Menurutnya, dia bersyukur anaknya dilahirkan dalam keadaan sihat walaupun anak ketiganya itu dijangka lahir pada 27 September ini.

Sementara itu, pengurus stesen minyak berkenaan, Ruzilah Abdul Talib berkata, kelahiran bayi itu memberi pengalaman bermakna buat mereka dan pihaknya bercadang menjadikan bayi berkenaan sebagai anak angkat.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 7:26pm
d