utama

Ibu segala kejahatan

Oleh Norhadiani Baharom dan Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: “Saya mula terjebak dengan dadah sewaktu berusia 13 tahun. Dadah pertama saya cuba adalah pil kuda. Saya turut hisap gam, minum ubat batuk, tagih syabu dan pil khayal Eramin 5 dan Ecstasy. Jujurnya semua jenis dadah saya pernah cuba,” pengakuan seorang remaja berusia 16 tahun yang hasnya mahu dikenali sebagai Amy.

Remaja terbabit kini sedang menjalani pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia di Bukit Tunku di sini, selepas dihantar ibu bapanya.

Dia yang ditemui wartawan Harian Metro semalam mengaku sedih apabila mengetahui kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengorbankan 23 nyawa dilakukan kumpulan penagih dadah remaja.

“Mereka semua lebih kurang sebaya saya. Jika saya masih bebas di luar sana, mungkin saya turut melakukan kegiatan jenayah ekstrem sama apabila gagal mengawal diri,” luahnya.

Amy mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah ketika berusia 13 tahun dan dihantar ke Pengasih oleh keluarganya sewaktu dia berusia 14 tahun.

Selepas setahun menjalani rawatan kerohanian di Rumah Pengasih dan berjaya mengatasi masalah ketagihannya, dia dibenarkan pulang untuk menjalani kehidupan normal.

Bagaimanapun masalah sama berulang kembali ketika dia berusia 15 tahun gara-gara tewas dengan godaan dan pengaruh rakan sebaya.

“Akibat ketagihan, saya pernah mencuri dan melakukan kes pecah rumah untuk mendapatkan wang malah pernah menjadi tokan dadah.

“Paling teruk, saya pernah menumbuk bapa saudara hanya kerana ditegur. Selain itu sering berhalusinasi hingga saya seolah-olah orang gila,” katanya.

Seorang lagi remaja berusia 17 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Rafi berkata, dia pernah dipenjarakan atas jenayah pecah masuk bangunan sehingga dijatuhi hukuman mengikut Akta 308 kanun keseksaan.

“Saya lakukan itu demi mendapatkan wang membeli alkohol dan dadah,” katanya.

Dia memberitahu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini selepas mendiami Pengasih sejak Mac lalu.

“Saya setuju dengan syarat ibu untuk menjalani proses pemulihan di Rumah Pengasih kerana tidak sanggup tinggal di penjara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi berkata, pengambilan dadah tidak dinafikan dapat mendorong individu untuk berkelakuan berani dan bertindak di luar kawalan sekiranya mereka memang berniat melakukan jenayah.

“Merujuk kes kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Khamis lalu, saya melihat kes dendam sebagai punca utama mendorong suspek sanggup bertindak demikian.

“Pengambilan dadah merangsang mereka menjadi jauh lebih berani sebaliknya ada juga segelintir penagih yang mengambil dadah namun tidak pernah mencederakan orang lain mahupun terbabit dalam kes jenayah seperti ini.

“Semua yang dilakukan bergantung kepada niat seseorang itu. Misalnya ada individu yang mengambil dadah kerana kecewa dalam hidup tapi tidak membabitkan orang lain mahupun mendatangkan masalah kepada orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 6:02am
d