utama

Cinta dua acara

Oleh Ferzalfie Fauzi dan Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Dulu benci, sekarang sayang.

Itu adalah kisah di sebalik kejayaan Faridul Masri yang pada suatu ketika dulu tidak pernah menyukai dua acara ini - merejam lembing dan melontar peluru - malah dia dan rakan-rakannya pernah memperlekehkan atlet yang menyertai acara itu.

Faridul yang bercita-cita menjadi seorang pemain bola sepak negeri dan kebangsaan akur bahawa dia kini sangat mencintai dua acara berkenaan apatah lagi sejak terbabit detik hitam dalam hidupnya. Sukan yang dipandang sebelah mata itu jugalah yang menjadi antara punca rezeki dan kejayaannya hingga kini.

“Dulu saya benci acara merejam lembing dan lontar peluru dan sekarang sukan ini begitu saya minati. Pernah saya berangan hendak menjadi pemain bola yang hebat tetapi tak dapat. Percaturan Allah itu jauh lebih baik. Apabila saya bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU), saya menjadi seorang atlet negara.

“Saya sebenarnya tidak jangka akan meraih emas lontar peluru kerana saya hanya buat latihan macam biasa dan fokus saya lebih acara merejam lembing. Saya sebenarnya trauma apabila lihat atlet Vietnam, Trinh Cong Luan beraksi kerana saya sudah tiga kali kalah kepadanya, tapi apabila saya nampak ahli keluarga datang berikan sokongan, perasaan itu terus hilang.

“Jadi pingat emas ini saya tujukan kepada keluarga yang banyak memberikan sokongan dan jurulatih kerana saya sedar, bukan mudah menjaga kami, serba kekurangan,” kata Faridul, 36, yang menyumbang pingat emas acara lontar peluru lelaki F56 (kecacatan anggota) dengan catatan 9.24 meter (m) di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Pingat perak menjadi milik Cong Luan dengan 8.41m sementara gangsa milik atlet Thailand, Phanpinit Sommay (8.21m). Selain emas lontar peluru, Faridul turut meraih emas acara merejam lembing pada hari pertama temasya dengan catatan 28.86m.

Menyingkap kembali perjalanan hidupnya, Faridul berkata, dia mengalami kemalangan motosikal bersama rakan pada 16 Mei 1996 ketika dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap hingga menyebabkan tulang belakangnya terhentak sekali gus menjejaskan kakinya.

Jelasnya, sejak tarikh itu, dia berdepan perjalanan hidup yang sukar dan memakan masa dua hingga tiga tahun untuk membina keyakinan diri dan akhirnya dia sedar sukan mampu memberikan kehidupan lebih baik buatnya. Selepas ini, Faridul mensasarkan untuk mengutip satu pingat emas pada temasya Sukan Para Asia, Jakarta-Palembang pada 2018.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 3:05am
d