utama

'Mujur cucu nak susu'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“KETIKA kebakaran kami sedang tidur sebelum bunyi letupan kuat dan melihat api marak di rumah jiran,” kata Zuariyah Osman, 45.

Zuariyah adalah mangsa kebakaran di Padang Bongor, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, pada 2.45 pagi Sabtu.

Kejadian itu menyebabkan 20 rumah papan musnah.

Katanya, ketika itu anak sulungnya, Nur Fadilah Kori, 23, bangun untuk membuat susu anaknya yang berusia enam bulan.

Menurutnya, terkejut bunyi letupan itu, mereka terus berlari keluar rumah untuk menyelamatkan diri.

"Sebaik keluar, saya lihat api merebak dengan cepat membakar semua rumah yang dibina berdekatan.

"Saya menyewa rumah ini sejak lapan tahun lalu dan kini tinggal sehelai sepinggang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan.

Katanya, kejadian itu membabitkan lebih 30 mangsa.

Menurutnya, 15 daripada 20 kediaman yang terbakar ketika kejadian mempunyai penghuni manakala lima lagi rumah kosong.

Berita berkaitan

Tiga puluh terselamat

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 1:01pm
d