utama

Bakat seni makin terserlah

Oleh Ardini Sophia Sina

Lumrah anak seni menelusuri liku-liku karier ada kalanya turun dan sesekali berada di puncak. Mula menceburi bidang lakonan ketika berusia sembilan tahun, hakikatnya Sweet Qismina, 20, masih tercari-cari tapak kukuh membina nama di persada seni.

Pelakon yang mula dikenali selepas membintangi drama Hikayat Putera Shazlan, Elly Dan Epit serta Waktu Rehat, turut menjadi pengacara program Chacha dan Chichi serta Planet Bola.

Waktu sama, Sweet juga mahasiswi di kolej swasta di Damansara, Selangor dalam jurusan Komunikasi Massa. Dia tidak menjadikan kesibukan dengan kerjaya sebagai alasan tidak meneruskan pendidikannya ke peringkat lebih tinggi.

Impiannya mahu menjadi anak seni berilmu. Justeru, dia sentiasa berhati-hati membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran. Hanya selepas tamat pengajian, baru gadis itu bercadang untuk 100 peratus fokus terhadap seni.

Terpilih Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH3.0), Sweet berasakan perubahan ketara pada graf kerjayanya. Dia akui semakin tidak menang tangan menerima tawaran daripada produksi.

“Alhamdulillah, perubahan paling ketara yang saya dapat rasakan adalah dari segi peluang berlakon. Bagaimanapun, saya terpaksa memilih tawaran yang saya yakin boleh jayakan tanpa sebarang masalah.

“Disebabkan masih belajar, saya tidak boleh pentingkan diri. Saya tidak mahu tamak dan mengambil semua, kemudian memakan diri sendiri dan menyusahkan kru dan produksi.

“Selagi saya bergelar pelajar, saya harus mengatur jadual agar tidak ada pertindihan masa dengan penggambaran projek lain atau jadual kelas terutama waktu peperiksaan,” katanya.

Selesa kerjaya diuruskan ibu, Sweet juga melihat kemenangan itu menampakkan sisi matangnya bukan hanya sebagai pelakon semata-mata, juga peribadinya. Dia juga melihat lebih banyak peluang untuk diterokai dalam cabang seni lain.

Kerap terbabit dengan program televisyen khusus kanak-kanak dan remaja, kini Sweet akui sudah tiba masanya untuk lebih teliti memilih karakter yang sesuai dengan usianya.

Dia tidak berasakan pembabitan dalam program mahupun drama seumpama itu mengehadkan tawaran yang berkisarkan kanak-kanak sahaja. Sepanjang bergelar pelakon, watak yang diberikan semuanya berdasarkan usianya.

Pada usia 17 tahun, dia pernah diberikan watak pelajar kolej. Perlahan-lahan, kemampuannya berlakon semakin diuji dengan watak lebih mencabar seperti dalam drama Danisya, anak yang suka memberontak.

Penggambaran drama ini sudah selesai beberapa bulan lalu dan buat masa ini, pelakon ini ingin menumpukan perhatian pada pelajaran dan mungkin berlakon semula pada cuti semester.

Tegas Sweet, dia juga tahu kemampuan dirinya setiap kali diberi tawaran. Katanya, ada karakter berat yang ingin diberi tetapi dia belum bersedia dan pada masa sama terikat dengan jadual kelas yang padat.

“Sekiranya ada kelapangan, saya pasti terima peluang seperti itu. Setakat ini, saya masih belum mendapat watak yang benar-benar mencabar kemampuan,” katanya.

Harus berani hadapi dugaan dunia seni

Sebagai pelakon, Sweet juga berhadapan dengan cabaran. Baginya, menjiwai satu-satu watak kemudian menukar cara berfikir itu menjadi lebih matang berbanding usia adalah perkara yang perlu ‘dikalahkan’.

Katanya, dia sentiasa mencari jalan supaya dapat menjayakan karakter dengan baik. Dia juga selalu membuat kajian sebelum penggambaran supaya watak berkenaan nampak ‘natural’.

“Mungkin sebab saya dapat banyak watak muda dan kanak-kanak, situasi itu menyukarkan sedikit untuk saya mengubah karakter dari segi bahasa tubuh, percakapan dan riak wajah menjadi lebih dewasa.

“Mahu tukar ‘mind set’ yang sudah bertahun-tahun saya bawa ketika berlakon tidak mudah tetapi bukan alasan untuk tidak melakonkan watak itu dengan baik. Insya-Allah, apabila kita buat kajian, teliti watak dan rajin bertanya semua akan jadi lebih mudah,” katanya.

Mengenai populariti pula, Sweet ada perumpamaannya sendiri. Baginya, populariti umpama minyak yang bila-bila masa akan menyemarakkan kontroversi seseorang. Semakin terkenal selebriti itu, makin banyak perkara yang nampak buruk pada mata umum akan ditular.

Baginya, keputusan menjadi pelakon bermakna dia tidak ada pilihan. Sedia atau tidak, dia tetap harus berhadapan dengan isu panas membabitkan dirinya serta belajar menangani masalah itu.

“Apabila saya berada dalam industri, saya terpaksa berhadapan dengan perkara seperti itu. Namun, untuk langkah pertama, saya akan elak terjebak dengan situasi sebegitu.

“Saya belajar dan melihat senior dalam industri yang terkena tempias menangani dan berhadapan dengan situasi itu. Saya cuba ketahui apa yang baik dan tindakan saya itu patut dilakukan atau sebaliknya,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 4:53am
d