utama

Masjid 289 tahun

Oleh Norizzah Baharudin

Melaka: Meskipun semakin ditelan usia, struktur dan reka bentuk Masjid Kampung Hulu di Jalan Kampung Hulu, di sini, yang dibina pada 1728 masih teguh hingga menarik perhatian pengunjung tempatan dan asing yang mahu melihat keunikannya dengan lebih dekat.

Antara ciri unik masjid berkenaan adalah reka bentuk bercirikan Melayu, China dan Jawa menggunakan kayu berlian selain sebuah kolah wuduk yang masih digunakan jemaah sehingga ke hari ini.

Masjid berkenaan mempunyai bumbung berlapis tiga dengan reka bentuk seperti piramid yang ada ruang untuk pengaliran udara dan cahaya ke dalam masjid bagi keselesaan jemaah.

Pegawai Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abd Kadir berkata, bangunan itu masjid pertama di Melaka dibina pendatang dari China yang beragama Islam iaitu Datul Shamsudin Arom.

“Boleh dikatakan binaan masjid ini lebih terarah kepada pengaruh Jawa namun bahan digunakan tidak 100 peratus kayu sebaliknya turut menggunakan batu-bata terutama tembok memagari kawasan rumah ibadat itu.

“Pengaruh China pula boleh dilihat pada jubin seramik dihiasi corak yang turut digunakan kerajaan China pada zaman Dinasti Ching. Kepelbagaian budaya dan bangsa yang singgah berdagang di Melaka satu ketika dahulu banyak mempengaruhi seni bina masjid itu,” katanya ketika ditemui.

Abdullah berkata, masjid berkenaan dianggap istimewa kerana air kolahnya dikatakan boleh menjadi penawar kepada sesetengah penyakit kerana kerap digunakan untuk berwuduk oleh alim ulamak pada masa dahulu.

Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai atau jemaah supaya tidak mempercayai perkara itu kerana dibimbangi boleh menimbulkan syirik kerana semua perkara berlaku dengan izin Allah.

Menurutnya, pengunjung yang singgah turut berpeluang melihat mimbar dan beduk yang kekal digunakan hingga sekarang untuk memaklumkan kepada penduduk sekitar mengenai waktu bersahur serta berbuka puasa selain pengumuman jika ada kematian.

Katanya, bagi mengimarahkan rumah ibadat itu jawatankuasa masjid menyediakan empat aktiviti setiap minggu iaitu pada setiap Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat membabitkan kelas agama, zikir, bacaan Yasin dan tahlil.

“Antara lain program disediakan pada setiap sambutan khas iaitu Maulidurrasul yang mana kita mengadakan Maulud Nabi bermula 1 Rabiulawal setiap tahun hingga acara kemuncak pada 12 Rabiulawal selain ceramah Israk Mikraj dan Nisfu Syaaban,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 5:51am
d