utama

Jiran selamatkan dua nyawa

Oleh Hamzah Osman

TINDAKAN pantas jiran memecah kaca tingkap dan menanggalkan jeriji besi tingkap dengan menegtuknya menggunakan batu berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak lelaki yang sedang nyenyak tidur ketika kediaman mereka di Kampung Gelam, Mukim Kedawang, Langkawi, terbakar hari ini.

Mangsa berusia enam dan 12 tahun itu berjaya diselamatkan selepas jirannya menarik keluar mereka menerusi tingkap sebelum menghubungi pihak bomba jam 8.40 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azri Mad Saad, berkata sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pihaknya menghantar 15 anggota berserta empat jentera termasuk jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi.

"Ketika pasukan operasi tiba di lokasi, kami dimaklumkan kedua-dua mangsa kanak-kanak lelaki telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut menggunakan kereta persendirian.

"Keluasan kebakaran dianggarkan 12 meter panjang dan 18 meter lebar, manakala anggaran kemusnahan pula sebanyak 70 peratus," katanya.

Mohd Azri berkata, api dapat dikawal pada jam 8.58 pagi dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 1:22pm
d