utama

Dah 48 hari tunggu kepastian

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: “Saya reda dengan pemergian anak yang ditunggu selama tujuh tahun ini kerana Allah lebih sayangkannya, namun berharap ada jawapan apa yang berlaku sehingga menyebabkan kematiannya,” kata Norfaizah Abdullah,36.

Norfaizah adalah ibu kepada Faidhur Rohmaan Atzroulnizam, empat bulan yang meninggal dunia selepas dihantar ke taska di Sungai Wangi, Sitiawan, di sini, dalam kejadian jam 11.30 pagi, pada 8 Ogos lalu.

Menurutnya, suaminya, Atzroulnizam Abu, 37, menghantar bayi lelaki mereka ke taska pada jam 9 pagi dalam keadaan baik.

“Pada jam 12.03 tengah hari, saya menerima panggilan telefon yang memaklumkan keadaan anak dan pengasuh di taska meminta segera ke klinik di Sitiawan selain mendakwa Faidhur sesak nafas, namun sebaik tiba saya dimaklumkan anak sudah tiada,” katanya.

Menurut Norfaizah, dia tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan pihak taska hanya memaklumkan selepas bayi dihantar, mereka memberinya susu dan bermain.

“Selepas itu, bayi saya tidur dan pada jam 11.30 pagi hari kejadian ketika mahu mengejutkannya untuk mandi, pengasuh sedar anak sesak nafas dan mengangkatnya dalam keadaan terlangkup.

“Itu saja yang saya tahu dan sejujurnya saya terkilan kerana mereka tidak memaklumkan terlebih dulu dan setengah jam selepas itu baru saya dihubungi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sejati Suria, Sitiawan semalam.

Norfaizah mengakui sangsi dengan kejadian itu dan membuat laporan polis sehari selepas kejadian serta mahu polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kematian anak sama ada mempunyai unsur kecuaian atau tidak.

“Pada mulanya, saya tidak mahu bedah siasat dijalankan, namun arahan pihak berkuasa menjadikan kami akur dan keputusan bedah siasat yang dijalankan pegawai perubatan mengatakan punca kematiannya tidak diketahui.

“Bagi saya mustahil sesak nafas tiada punca dan ketika itu anak saya dalam keadaan baik serta tidak demam, selesema atau batuk,” katanya yang turut mempunyai dua anak perempuan.

Katanya, keputusan laporan sampel belum keluar dan menurut pihak berkuasa keputusan biasanya mengambil masa dua minggu sehingga sebulan, namun kini sudah 48 hari.

“Saya pernah ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan keputusan itu, namun bahagian rekod menyuruh saya menghubungi sendiri Jabatan Kimia.

“Apabila dihubungi mereka memaklumkan hanya berurusan dengan pihak hospital atau polis saja dan saya rasa seperti diperbodohkan.

Katanya, mereka sudah bertemu pihak berkuasa dan bukan niat mereka mahu mengganggu siasatan, namun sebagai ibu dia mahukan jawapan serta pembelaan ke atas kematian bayi mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim berkata, pihaknya sudah menjelaskan perkara berkaitan kepada pasangan itu dan memerlukan laporan daripada pihak berkaitan untuk melengkapkan siasatan.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 5:15am
d