utama

Polis dah tahan

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

LELAKI yang video pergaduhannya dengan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tular di media sosial ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, 6.30 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu Grab Car itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung video pergaduhannya dengan penguat kuasa yang tular di media sosial.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada penguat kuasa DBKL semalam berhubung kejadian yang berlaku di Taman Segar, Cheras.

"Dalam kejadian 12.46 tengah hari semalam, anggota terbabit dengan rakan setugasnya bersama dua lelaki dari syarikat yang dilantik menjalankan operasi kapit tayar di kawasan taman berkenaan.

"Anggota terbabit mengapit tayar sebuah Perodua Myvi kerana melakukan kesalahan meletakkan kenderaan di luar petak.

"Tidak lama kemudian, anggota terbabit menerima arahan daripada Pusat Panggilan DBKL memaklumkan supaya pergi ke lokasi itu semula untuk membuka kapit tayar kerana suspek ingin membayar denda," katanya.

Bagaimanapun, Chong berkata, berlaku perselisihan faham antara mereka yang mencetuskan pertengkaran dan tolak-menolak.

Katanya, pergaduhan itu dirakam dan rakaman berdurasi kira-kira lima minit itu tular di media sosial.

"Polis sudah beberapa kali menghubungi anggota terbabit tetapi dia masih belum datang ke balai untuk memberi keterangan.

"Polis turut merakam keterangan saksi dan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 8:11pm
d