utama

Bawa lebih 400 aduan mangsa

Oleh Nursyahirah Marzuki

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu isu penipuan rumah murah yang dijalankan pihak tidak bertanggungjawab disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa.

Aktivis Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi berkata, berikutan itu, pihaknya menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini, bagi memastikan isu berkenaan tidak diambil mudah oleh pihak tertentu.

"Kita membawa lebih 400 aduan daripada mangsa untuk membantu mencari punca modus operandi (MO) yang dilakukan dalang yang mengaku sebagai kontraktor syarikat perumahan.

"Selepas pertemuan dengan EAIC, mereka memberi jaminan untuk turut sama membantu dalam menyelesaikan masalah ini dengan menubuhkan satu pasukan khas dalam menyiasat perkara ini," katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, PPIM turut mengadakan sesi perbincangan dengan EAIC yang berlangsung kira-kira dua jam.

Memorandum berkenaan diterima oleh Timbalan Pengarah Operasi (Aduan) Bahagian Operasi EAIC, Celemans Kasim.

Yusof berkata, beberapa laporan polis sudah dibuat oleh mangsa kerana mereka mengesyaki perkara terbabit adalah satu kes jenayah penipuan.

"Bagaimanapun, dalang kes penipuan ini masih melakukan promosi rumah murah, seolah-olah tiada tindakan siasatan diambil ke atas mereka.

"Oleh itu, kita nasihatkan kepada orang ramai yang terkena dengan penipuan rumah murah ini untuk tampil menghantar aduan kepada PPIM," katanya.

Menurutnya, memorandum yang dihantar kepada EAIC itu adalah satu langkah supaya kes berkenaan mendapat lebih perhatian yang sepatutnya dari pihak berkuasa.

Baru-baru ini, Unit Tindakan Khas PPIM membongkarkan kegiatan sindiket penipuan rumah murah yang dijalankan oleh enam individu sehingga tular di media sosial.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 8:51pm
d