utama

Morata tak digemari?

Oleh Reuters

Madrid: Alvaro Morata tidak mungkin menerima sambutan hangat apabila Chelsea berkunjung ke Atletico Madrid pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok dengan sejarah lampau penyerang itu yang pernah menyertai Real Madrid, kata penjaga gol Thibaut Courtois.

Morata, pembelian termahal Chelsea dari Real pada musim rehat liga bermula cemerlang sejak mula menyertai kelab Stamford Bridge itu.

Penyerang itu meledak hatrik pertamanya buat kelab itu ketika Chelsea membelasah Stoke 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu.

Courtois, yang dipinjamkan tiga musim kepada musuh Real, Atletico berkata, rakan sepasukannya sudah pasti bersedia untuk ‘perlawanan hebat’ di Estadio Metropolitano.

“Dia akan menerima layanan berbeza berbanding saya. Alvaro beraksi dalam banyak perlawanan menentang Atletico. Saya fikir dia menjaringkan gol, saya tidak pasti, jadi baginya ia pasti yang hebat menentang pencabarnya,” kata Courtois menerusi laman web Chelsea.

“Bagi saya ia lebih kepada aksi persahabatan, tetapi dalam tempoh 90 minit kami bermain di sana, ia menjadi perlawanan yang penting juga kerana pasukan mereka juga mahukan kemenangan.

“Kami sedar dia seorang penyerang hebat. Kami sedar dia mempunyai kemahiran itu dan kami berbangga dengannya kerana menjaringkan hatrik, penyerang yang sentiasa menjaringkan gol dan menyumbang jaringan penting musim ini.”

Courtois juga tidak sabar untuk bertemu Diego Costa, yang baru-baru ini meninggalkan Chelsea untuk menyertai kembali Atletico selepas perselisihan dengan jurulatih Antonio Conte.

Costa hanya akan bermain untuk Atletico mulai 2 Januari depan apabila jendela perpindahan Sepanyol dibuka dan penggantungan perpindahan kelab berakhir. FIFA menggantung kelab Madrid kerana membuat perpindahan secara haram.

“Dia seorang rakan yang baik dan pasti seronok bertemunya di sana. Saya gembira kami tidak akan menentangnya sehingga Tahun Baru dan berharap kami akan melangkah sama dalam Liga Juara-Juara,” kata pemain Belgium berusia 25 tahun itu.

Chelsea menewaskan Qarabag 6-0 dalam aksi pertama Kumpulan C Liga Juara-Juara, manakala Atletico terikat 0-0 di Roma.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 4:09am
d